HANG TUAH JAYA: Peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan tidak akan menjejaskan sokongan DAP terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kesemua 40 Ahli Parlimen parti itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, keputusan meninggalkan Kabinet dibuat atas prinsip dan pendirian politik berhubung isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya sebagai isyarat menarik sokongan terhadap Anwar.
“Saya letak jawatan sebagai menteri, tetapi saya bukan menarik sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 40 Ahli Parlimen tetap kukuh, tetap tegas memberi sokongan,” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Hang Tuah Jaya malam tadi.
Anthony berkata, keputusan meletakkan jawatan itu membuktikan beliau berpegang pada prinsip dan menunaikan komitmen yang diumumkan hampir tujuh minggu lalu.
Beliau turut mempersoalkan percanggahan pendirian pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ada menyifatkan tindakannya sebagai berprinsip, manakala pihak lain mendakwa ia mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Anthony menegaskan kerjasama DAP dengan BN dalam kerajaan tidak bermakna parti itu mengorbankan prinsip perjuangan, khususnya dalam usaha membanteras rasuah.










