KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucunya tanpa perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak penjara sepanjang menjalani baki hukuman menerusi perintah tahanan di rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelonggaran itu selaras dengan syarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya perlu meneliti lebih lanjut ketetapan berkenaan, khususnya sama ada ahli keluarga dalam kategori terbabit dibenarkan bermalam atau berkongsi bilik dengan bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengemukakan senarai nama anak, menantu dan cucu yang dibenarkan tinggal bersama suaminya untuk dikendalikan Jabatan Penjara.
Menurut Saifuddin, individu di luar kategori ahli keluarga berkenaan perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Komisioner Jeneral Penjara sebelum dibenarkan tinggal bersama Najib.
“Selain individu dalam kategori ini, mereka semua perlu mendapatkan izin bertulis daripada Komisioner Jeneral Penjara untuk tinggal bersama Najib sepanjang tempoh tahanan di rumah.
“Sebagai contoh, adik Najib atau ahli keluarga lain yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan perlu mendapatkan kebenaran bertulis bagi tujuan sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai individu yang dibenarkan menetap bersama Najib sepanjang bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Selasa lalu, Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, di sini, berkuat kuasa serta-merta susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara bagi kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah.
Pelaksanaan perintah berkenaan turut menggantikan arahan terdahulu yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, selepas Najib menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan sebagai sebahagian daripada pengampunan bersyarat terhadapnya.










