Gobind Suruh Zahid Letak Jawatan TPM Kalau Tak Puas Hati Dengan Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya mendesak pembubaran Parlimen sekiranya beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menegaskan, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri boleh melepaskan jawatannya sekiranya tidak lagi bersetuju dengan kepimpinan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, tindakan mendesak Anwar membubarkan Parlimen adalah tidak wajar kerana keputusan berhubung perkara itu terletak sepenuhnya di bawah kuasa Perdana Menteri.

Menurut Menteri Digital itu, pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan dengan baik, manakala kedudukan ekonomi negara kekal stabil dan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Jika beliau (Zahid) tidak yakin dengan kepimpinan Anwar, beliau boleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju atau tidak yakin dengan Anwar, mereka boleh meletakkan jawatan. Tidak perlu mendesak Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Minggu Kesiapsiagaan AI Kebangsaan, hari ini.

Gobind turut mengingatkan Zahid dan anggota Kabinet supaya menghormati kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri memandangkan pelantikan mereka dalam Jemaah Menteri dibuat atas keputusan beliau.

Katanya, sekiranya wujud ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri, jalan keluar yang lebih jelas adalah melepaskan jawatan dan bukannya mendesak pembubaran Parlimen.

“Mereka perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri. Pelantikan mereka sebagai anggota Jemaah Menteri adalah atas keputusan Perdana Menteri. Jadi, tunjukkan sedikit rasa hormat.

“Jika tidak yakin kepadanya, jangan minta Perdana Menteri membubarkan Parlimen. Letak sahaja jawatan. Mudah,” katanya.

Pada Selasa, Zahid berpandangan pembubaran Parlimen lebih sesuai berbanding rombakan Kabinet kerana beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk perubahan dalam barisan Jemaah Menteri ketika ini.

Beliau turut berpendapat mandat baharu perlu diperoleh daripada rakyat sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Kenyataan itu dibuat ketika spekulasi mengenai rombakan Kabinet semakin hangat susulan tempoh perkhidmatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang berakhir pada 11 Disember ini, selain peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menyifatkan perbincangan mengenai kemungkinan rombakan Kabinet sebagai terlalu awal dan memaklumkan beliau tidak mengetahui perkembangan berkaitan jawatan yang diperkatakan.

Dalam perkembangan berasingan, Gobind berkata DAP menyerahkan sepenuhnya kepada Anwar untuk menentukan calon pengganti Loke sebagai Menteri Pengangkutan selepas Setiausaha Agung DAP itu meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.

Mengulas sama ada DAP sudah mengemukakan nama calon bagi mengisi kekosongan berkenaan, Gobind menegaskan perkara itu merupakan hak dan keputusan Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles