Mengapa AGC Ambil Tempoh Hingga Empat Hari? Ini Penjelasan Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh bertindak sendiri dalam urusan pembebasan banduan tanpa mendapatkan penjelasan undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), termasuk berhubung kekeliruan dokumen pembebasan Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Penjara memerlukan kepastian mengenai dokumen Order of Discharge yang diterima selepas Najib membuat pembayaran denda RM50 juta pada 6 November lalu.

Menurutnya, istilah discharge membawa maksud pembebasan serta-merta dan menyebabkan Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa terhadap individu berkenaan.

“Penjara ini faham, kalau discharge, maksudnya lepas serta-merta. Penjara tidak ada autoriti lagi.

“Release lain, discharge lain. Kalau release, kita masih boleh menahan untuk tahanan rumah, pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib atau parol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Takiyuddin membangkitkan persoalan mengenai ketidakselarasan tindakan antara jabatan kerajaan berhubung pelaksanaan tahanan di rumah Najib, termasuk tindakan AGC yang mengambil masa empat hari untuk menyelesaikan kekeliruan dokumen berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula prosedur pembebasan atau pertukaran tempat tahanan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya mendapatkan pandangan Peguam Negara kerana Jabatan Penjara merupakan agensi pelaksana dan bukan pihak yang bertanggungjawab mentafsir undang-undang.

“Siapakah penasihat undang-undang kerajaan? Itulah Peguam Negara. Itu prosesnya untuk kami. Kami pelaksana, kami bukan pentafsir undang-undang.

“Setelah dibawa ke mahkamah, apa keputusan hakim Mahkamah Tinggi? Membatalkan discharge order 6 November. Kalau ia sempurna, tiada cacat dan sebagainya, kenapa batal?” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi kemudiannya mengeluarkan satu perintah baharu iaitu perintah pembebasan bersyarat yang lebih jelas bagi membolehkan proses berkenaan dilaksanakan.

Saifuddin menegaskan, KDN tidak pernah mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan mahupun mengambil hak Najib yang telah diberikan pengampunan bersyarat.

Sebaliknya, kementerian itu hanya memastikan pelaksanaan keputusan berkenaan dibuat mengikut lunas undang-undang.

“Kita tidak akan ambil mudah soal kebimbangan dan kemarahan rakyat. Kita tidak mahu dianggap memberikan layanan istimewa.

“Kesetiaan kepada institusi Raja tidak bermakna kita boleh mengabaikan persoalan undang-undang. Pada masa sama, mempertahankan kedaulatan undang-undang tidak bermaksud kita mempertikaikan institusi Raja.

“Kedua-duanya mesti berjalan seiring dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sebelum itu, Takiyuddin menyifatkan penggunaan istilah ‘dua darjat’ dalam isu tahanan di rumah Najib sebagai tidak wajar kerana seolah-olah mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

BBerkaitan

Latest articles