Najib Dilarang Terima Tetamu, Buat Kenyataan Media Dan Terbabit Politik – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada beberapa syarat ketat termasuk larangan menerima tetamu, membuat kenyataan media serta terbabit dalam sebarang aktiviti politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat empat kategori syarat utama yang ditetapkan Lembaga Pengampunan menerusi perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, syarat berkenaan merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi dan kewajipan mengikuti program pemulihan serta intervensi.

“Tempat tinggal itu disebut dengan jelas, iaitu nombor 11 di Jalan Langgak Duta. Tidak dibenarkan berpindah ke rumah lain, bangunan lain atau premis lain dan tidak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis.

“Beliau juga tidak dibenarkan menerima tetamu melainkan dengan izin bertulis serta tidak boleh tinggal bersama individu lain selain ahli keluarga yang dibenarkan tanpa kebenaran terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai syarat khusus yang dikenakan terhadap Najib serta agensi bertanggungjawab memantau pematuhan syarat berkenaan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Najib turut dilarang menggunakan telefon dan alat telekomunikasi selain peranti yang didaftarkan Jabatan Penjara bagi tujuan pengesahan keberadaannya di kediaman tersebut.

Menurutnya, Najib juga tidak dibenarkan mendedahkan diri kepada liputan media atau platform media sosial, membuat sebarang kenyataan atau ulasan kepada media, menghadiri majlis keramaian mahupun mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Beliau menjelaskan, Jabatan Penjara turut mempunyai kuasa menetapkan syarat tambahan bagi tujuan kawalan, penyeliaan, arahan dan tatacara sepanjang tempoh tahanan di rumah itu.

“Semua syarat ini telah dibacakan kepada Datuk Seri Najib dua hari lalu sebelum beliau dikeluarkan dari penjara dan dihantar ke Jalan Langgak Duta,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat memenuhi permohonan Najib untuk membenarkan sebuah lagi kediaman selain alamat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan.

Katanya, keputusan Lembaga Pengampunan secara jelas menetapkan hanya sebuah rumah dibenarkan sebagai lokasi tahanan di rumah dan sebarang perubahan perlu mematuhi keputusan berkenaan.

Menjawab persoalan Suhaizan mengenai dakwaan wujud layanan dua darjat antara rakyat biasa dengan bekas pemimpin, beliau berkata, hak memohon pengampunan diberikan kepada semua individu tanpa mengira kedudukan atau status.

“Negara kita negara hukum. Kalau seseorang itu sudah dituduh, disabitkan kesalahan dan melalui semua proses pengadilan, undang-undang memberikan hak kepadanya untuk mengangkat atau memohon pengampunan.

“Hak memohon ada pada semua, orang kaya, orang miskin, orang kecil atau orang besar. Sama ada permohonan itu diterima atau tidak, ia terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata, peranan KDN hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan menerusi Jabatan Penjara berdasarkan peruntukan undang-undang dan prosedur ditetapkan.

Mengenai kos pemantauan tahanan di rumah, Saifuddin berkata, tiada kos tambahan dijangka ditanggung kerajaan kerana anggota penjara dan polis yang ditugaskan memantau Najib hanya melibatkan penyusunan semula tugasan sedia ada.

Katanya, pemantauan dilakukan pegawai penjara menerusi tiga syif dengan tiga anggota bagi setiap syif, selain kawalan polis secara statik dan berterusan.

“Kalau dahulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ. Jadi, tidak ada kos tambahan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bayaran pencen Najib dihentikan, manakala kemudahan lain yang layak diterima sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen masih boleh dinikmati tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta peraturan berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles