Lelaki Dipenjara Tiga Bulan Kerana Hantaran Jelik Terhadap PM

SEPANG: Seorang lelaki dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik melampau terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook, Mac lalu.

Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin menjatuhkan hukuman terhadap Mohamed Shazrin Jamil, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Shazrin secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook ‘Shazrin Kedah’ dengan niat menyakitkan hati orang lain, kira-kira jam 6.15 petang, 12 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian dikesan di Menara 1 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta menjadi peringatan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Amer Haiqal Mohd Yusof yang mewakili tertuduh memohon hukuman lebih ringan atas alasan anak guamnya bertanggungjawab menjaga kedua-dua ibu bapanya yang mengalami masalah kesihatan.

BBerkaitan

Latest articles