CP500 Tidak Bayar Bukan Sebab Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kegagalan membayar ansuran cukai di bawah CP500 tidak menyebabkan seseorang pembayar cukai dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara, sebaliknya tindakan itu hanya boleh diambil selepas jumlah cukai sebenar dimuktamadkan dan masih terdapat tunggakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, CP500 bukan taksiran cukai muktamad kerana liabiliti cukai sebenar hanya ditentukan selepas pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran berkenaan.

Menurutnya, jumlah cukai sebenar akan dihitung semula berdasarkan BNCP yang dikemukakan dengan mengambil kira bayaran ansuran CP500 yang telah dibuat.

“CP500 tidak menyebabkan sekatan. Sekatan hanya berlaku selepas Borang Nyata Cukai Pendapatan dimuktamadkan dan kalau ada tunggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Chow ingin mendapatkan penjelasan mengenai justifikasi kerajaan menyekat perjalanan seseorang ke luar negara sekiranya tunggakan cukai itu masih berdasarkan anggaran yang belum dimuktamadkan.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai had minimum tunggakan yang membolehkan sekatan dikenakan, penyampaian notis kepada pembayar cukai serta pihak yang bertanggungjawab sekiranya anggaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) didapati tidak tepat.

Menjawab perkara itu, Liew berkata, sekatan perjalanan lazimnya dikenakan selepas tempoh enam bulan sekiranya tunggakan cukai masih belum dijelaskan dan tiada maklum balas diberikan kepada LHDN.

“Sekatan hanya berlaku selepas Borang Nyata Cukai Pendapatan dimuktamadkan dan kalau ada tunggakan, selepas biasanya lazimnya selepas enam bulan tanpa cukai dipungut baru sekatan dikenakan dan juga dalam keadaan di mana tanpa apa saja maklum balas kepada LHDN,” katanya.

Dalam jawapan asalnya, Liew menjelaskan kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia boleh melaksanakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap individu yang disenarai hitam atau mempunyai tunggakan hutang dan cukai dengan agensi berkaitan termasuk LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Insolvensi.

Beliau berkata, bagi LHDN, tindakan sekatan perjalanan boleh dikenakan terhadap individu yang gagal menjelaskan tunggakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan harta tanah, selaras dengan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Menurutnya, sekiranya selepas pengiraan semula berdasarkan BNCP masih terdapat baki cukai yang perlu dibayar dan pembayar cukai gagal menjelaskannya dalam tempoh ditetapkan, jumlah berkenaan akan diklasifikasikan sebagai tunggakan cukai.

Sehubungan itu, Liew menasihatkan pembayar cukai supaya menyemak status tunggakan cukai menerusi portal MyTax atau status sekatan perjalanan melalui laman web Jabatan Imigresen Malaysia sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk bergerak, sebaliknya memastikan tunggakan cukai yang terhutang kepada kerajaan dapat dikutip mengikut peruntukan undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles