KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah” – itu reaksi Datin Seri Rosmah Mansor selepas Mahkamah Tinggi membenarkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Menurut laporan Berita Harian, Rosmah kini menantikan kepulangan bekas Perdana Menteri itu ke kediaman mereka di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, malam ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah pelepasan bertarikh 6 November sebelum mengeluarkan perintah baharu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib dipenjarakan sejak Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun serta RM50 juta menerusi pengampunan diraja pada Januari 2024.
Pada September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah tertakluk kepada pembayaran denda dan syarat ditetapkan.










