Cikgu Mustafa Yakin Gelombang Biru Mampu Kuasai Durian Tunggal

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa yakin gelombang biru yang sebelum ini menyaksikan kejayaan parti itu di Johor dan Negeri Sembilan mampu diteruskan ke Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan positif diterima sepanjang kempen serta perkembangan pengundian awal yang dilihat menunjukkan petanda baik terhadap penerimaan pengundi, khususnya golongan muda.

Menurutnya, tinjauan di pusat pengundian awal di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pada Selasa memberi gambaran positif berdasarkan reaksi pengundi yang hadir menunaikan tanggungjawab mereka.

“Alhamdulillah, momentum keyakinan daripada body language yang ditunjukkan oleh pengundi-pengundi muda, pengundi-pengundi awal tadi, saya yakin ada tempat di hati mereka untuk memilih calon Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui The Rakyat Insight selepas mengadakan aktiviti turun padang di sekitar DUN Durian Tunggal, pada Selasa.

Mustafa berkata, beliau memanfaatkan baki tempoh kempen dengan mempergiat aktiviti walkabout, bersalaman dan mengunjungi rumah pengundi bagi mendekati seramai mungkin penduduk.

Katanya, antara kawasan yang dikunjungi termasuk Taman Tasik Awari, Taman Melaka Emas dan Kampung Panchor, selain beberapa lokasi lain yang dijadualkan dalam programnya.

Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan, termasuk daripada penduduk yang pernah mengenalinya ketika beliau berkhidmat sebagai guru.

“Ramai saya jumpa orang yang telah kenal saya lama sebagai cikgu. Jadi, jumpa balik rumah anak-anak murid di setiap taman, ada kawan-kawan lama di samping pengundi-pengundi baharu.

“Jadi, dengan momentum dan sambutan serta sokongan daripada seluruh jentera, saya penuh yakin penerimaan masyarakat Durian Tunggal semakin baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan pilihan raya bukan sekadar persaingan antara individu, sebaliknya membabitkan parti yang membawa kesinambungan perjuangan dan pentadbiran.

“Yang kita nak undi ini bukan individu, yang kita nak undi ini adalah siapa yang membawa bendera parti. Individu adalah seperti kata orang, disuruh pergi, dipanggil datang. Tetapi yang kekal adalah parti,” katanya.

Sehubungan itu, Mustafa menyeru seluruh pengundi Durian Tunggal tanpa mengira kaum dan fahaman politik supaya memberikan sokongan kepada BN berdasarkan rekod pencapaian serta pembangunan yang telah dilaksanakan.

“Saya menyeru daripada dasar hati saya yang dalam, supaya seluruh pengundi Durian Tunggal tanpa mengira kaum, Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum, tanpa merentasi parti dan ideologi pemikiran politik, undilah kestabilan, undilah kemakmuran, undilah rekod dan kecemerlangan, bukan sekadar janji, tetapi bukti yang telah tertera melalui pembangunan yang kita buat kepada rakyat dan pengundi DUN N09 Durian Tunggal,” katanya.

Beliau turut berjanji akan meneruskan usaha kepimpinan terdahulu serta menambah baik pembangunan di kawasan itu sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.

“Yang menang bukan Cikgu Mustafa, tapi yang menang adalah rakyat Durian Tunggal. Saya hanya sebagai penyambung warisan, pembawa bendera dan panji-panji perjuangan parti untuk menentukan Durian Tunggal terus berada dalam genggaman kemakmuran dan kemajuan yang berpanjangan,” katanya.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan pengundi di DUN Durian Tunggal bakal menentukan wakil rakyat mereka pada 14 November ini selepas tempoh berkempen selama 14 hari.

BBerkaitan

Latest articles