KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu membawa kelegaan kepada kepimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN), selain rakyat yang selama ini mendoakan agar Najib dapat kembali bersama keluarganya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang menurutnya membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Dalam perkembangan sama, beliau berterima kasih kepada kepimpinan UMNO di semua peringkat, ahli parti dan rakyat yang menyumbang menerusi kutipan dana awam sehingga berjaya mengumpulkan RM50 juta bagi melunaskan denda Najib.
Katanya, perkembangan itu juga perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak, khususnya pengamal undang-undang dan mereka yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan sistem perundangan negara.
Beliau menegaskan segala titah dan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati serta dipatuhi.
“Mudah-mudahan apa yang sedang dan telah berlaku ini memberikan pengajaran kepada kita semua, sama ada sebagai pengamal undang-undang ataupun pihak yang menjaga perundangan agar patuhilah titah dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kerana dalam undang-undang, perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan itu adalah suprem, ia haruslah dipatuhi,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu berharap segala polemik berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan tidak lagi berlarutan.
“Mudah-mudahan kita tutup buku untuk perwujudan polemik, tidak ada polemik lagi selepas ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Najib diberikan ketenangan sepanjang berada bersama keluarga serta dipermudahkan segala urusan selepas ini.










