Keputusan Mahkamah Buktikan Peguam Negara Tidak Derhaka Kepada Agong – Rayer

KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon semakan perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak disahkan sebagai langkah perundangan yang tepat dan bukannya perbuatan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membetulkan perintah terdahulu membuktikan permohonan semakan yang dikemukakan Peguam Negara mempunyai asas perundangan.

Menurutnya, permohonan itu bertujuan mendapatkan penjelasan undang-undang berhubung kesilapan dalam perintah asal yang dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta.

“Perintah mahkamah yang disemak semula hari ini telah membetulkan kesilapan dalam perintah tahanan rumah terdahulu yang dikeluarkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan tindakan Dusuki tidak bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, Rayer menggesa Peguam Negara mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa membuat laporan polis palsu berhubung isu berkenaan.

Beliau turut menamakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai antara pihak yang didakwanya menuduh Dusuki menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perintah bertarikh 6 November yang mengarahkan pelepasan Najib selepas pembayaran denda RM50 juta, sebelum mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Pertikaian tercetus apabila perintah asal itu menimbulkan tafsiran seolah-olah Najib boleh dibebaskan serta-merta, sedangkan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong hanya membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.

Dalam prosiding semakan, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah perintah asal berkenaan bercanggah dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan pihaknya memahami arahan pelepasan dalam perintah terdahulu hanya merujuk kepada kewajipan pembayaran denda dan bukannya pembebasan daripada hukuman penjara.

Najib menerima pengampunan bersyarat pada September lalu yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kesalahan membabitkan SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain yang ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles