Melvin Chua ada aura kemenangan, mampu bawa perubahan di Kota Laksamana – Penduduk

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Melvin Chua dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Seorang penduduk Kampung Jalan Lapan, Yazid Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan keperibadian Melvin yang disifatkan sebagai seorang pemimpin muda, rajin bekerja, bersopan santun dan mempunyai pendekatan mesra rakyat.

Menurutnya, kesungguhan calon MCA itu turun padang serta mendekati masyarakat setempat memberikan gambaran bahawa beliau mampu membawa perubahan kepada kawasan berkenaan.

“Saya tengok calon ini ada satu aura yang baik. Dia rajin bekerja, masih muda dan cara percakapannya pun lembut.

“Latar belakangnya pun baik, mesra dengan rakyat dan daripada cara dia bekerja, saya nampak dia seorang yang teliti.

“Harapan saya terhadap Melvin Chua memang cerah. Saya nampak aura kemenangan itu daripada kesungguhan dan bahasa tubuhnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Jalan Lapan, di sini.

Yazid berkata, beliau melihat perbezaan ketara dari segi semangat dan gerak kerja calon BN kali ini berbanding pilihan raya terdahulu.

Katanya, kesungguhan Melvin memberikan keyakinan bahawa BN berpeluang meraih semula sokongan pengundi di kawasan yang sekian lama menjadi kubu kuat DAP.

“Sebelum ini saya tengok macam tidak ada semangat, tetapi kali ini memang sungguh-sungguh.

“Saya berharap akan ada satu perubahan besar. Kalau Melvin dapat membawa perubahan seperti yang diharapkan, saya rasa dia boleh kekal sehingga dua penggal,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi wakil rakyat DAP yang didakwanya kurang memberikan perhatian kepada masalah penduduk Kampung Jalan Lapan.

Beliau mendakwa wakil rakyat berkenaan jarang turun padang untuk meninjau keadaan penduduk dan hanya hadir apabila berlaku kejadian banjir.

“DAP tidak turun ke kawasan Kampung Jalan Lapan, tidak turun tengok kampung-kampung. Bila ada banjir baru turun.

“Banjir pun apabila kita panggil, dia datang begitu sahaja. Macam melepaskan batuk di tangga, tidak ada apa yang dibuat,” dakwanya.

Mengulas serangan politik yang sering menggunakan istilah ‘sakau’, Yazid berkata tuduhan rasuah tidak seharusnya dibuat secara umum tanpa menamakan individu yang didakwa terlibat.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai salah laku pemimpin politik perlu tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bukannya melemparkan tuduhan secara menyeluruh.

“Kalau kata ada pemimpin yang sakau, siapa individu itu? Kena nyatakan siapa dan buat laporan.

“Jangan asyik sebut sakau, sakau, sakau tetapi tidak tunjuk siapa yang dimaksudkan,” katanya.

Sehubungan itu, Yazid berharap pengundi Kota Laksamana dapat memberikan peluang kepada Melvin untuk membuktikan keupayaannya sebagai wakil rakyat.

“Saya mendoakan supaya dia diberi peluang dan tempoh yang sebaik-baiknya untuk berkhidmat.

“Kalau rakyat beri peluang, saya yakin dia boleh buat. Saya rasa tidak ada masalah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles