1,572 Naskhah Yasin, Tahlil Terjemahan Meragukan Dirampas

PASIR MAS: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 1,572 naskhah buku surah Yasin dan tahlil yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang, termasuk mengandungi terjemahan meragukan, dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, 5 November lalu.

Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori kargo oleh AKPS Rantau Panjang bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kelantan.

Komander AKPS Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa sebanyak 63,500 naskhah bahan al-Quran daripada pelbagai judul.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,572 naskhah buku surah Yasin dan tahlil yang disyaki tidak mematuhi keperluan undang-undang dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Kompleks ICQS Rantau Panjang, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan bahan yang dirampas dianggarkan hampir RM10,000.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Kelantan, Muhammad Hafizu Mohd Bokhori berkata, buku berkenaan dipercayai dicetak di Bangkok, Thailand sebelum dibawa masuk ke negara ini untuk diedarkan ke Johor.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7B Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Tindakan rampasan itu sekali gus menegaskan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan bahan al-Quran yang dibawa masuk dan diedarkan di negara ini mematuhi ketetapan undang-undang serta tidak mengandungi unsur yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kandungannya. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles