KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa kesilapan dalam dokumen perintah yang didakwa dihantar kepada Penjara Kajang berhubung pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Peguam kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, kesilapan berkenaan bukan sekadar kesilapan perkeranian (clerical errors) yang boleh diperbetulkan menerusi kaedah slip-rule.
Menerusi hantaran di Facebook pada Selasa, beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan ialah pengulangan peruntukan Seksyen 4(1)(b) dalam dokumen berkenaan yang ditandakan dengan warna berbeza.
Menurutnya, kesilapan itu mungkin kelihatan mudah untuk diperbetulkan dengan memadamkan peruntukan yang berulang, namun terdapat beberapa persoalan lain yang lebih serius.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Perintah Pengampunan secara khusus menyatakan alamat kediaman di Taman Duta sebagai lokasi tahanan rumah atau sekadar menetapkan pelaksanaan tahanan rumah tanpa menyatakan alamat tertentu.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana pewartaan rumah di Taman Duta sebagai lokasi tahanan rumah juga dibuat pada tarikh sama denda dibayar.
“Baiklah, anda tahu mengenai pewartaan itu sebelum ia diterbitkan. Itu satu tindakan proaktif. Syabas!” katanya secara sinis.
Mengulas lanjut, Shamsuddin membangkitkan persoalan mengenai penggunaan perkataan discharge (pelepasan) dalam dokumen berkenaan, khususnya hukuman penjara yang dimaksudkan.
Beliau mempersoalkan sama ada pelepasan itu merujuk kepada hukuman penjara enam tahun seperti yang ditetapkan menerusi Perintah Pengampunan atau hukuman penjara sebagai ganti sekiranya denda gagal dibayar.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan arahan supaya waran pemenjaraan dikemukakan semula untuk pengesahan sedangkan individu terbabit sudah pun menjalani hukuman di Penjara Kajang.
“Perkara-perkara yang dinyatakan di atas tidak lagi boleh dikategorikan sebagai kesilapan yang boleh diperbetulkan melalui slip-rule.
“Peraturannya ialah lakukan semula semuanya dari awal!” katanya.
Dalam nada berseloroh, beliau turut menyindir pihak yang bertanggungjawab menyediakan dokumen berkenaan dengan menyatakan bahawa sekiranya individu itu bekerja di bawahnya, beliau akan memecatnya.
“Saya tidak mahu melihat anda lagi. Tutup pintu dari luar! (Sekadar bergurau. Jangan ambil hati),” katanya.










