Kadir Jasin Desak Siasat Sumber Dana RM50 Juta Umno Bayar Denda Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh berdiam diri berhubung sumber dana RM50 juta yang dikumpulkan Umno bagi melunaskan denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya perlu memastikan wang itu diperoleh secara sah.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), tanpa mengira pihak yang membuat pembayaran.

Beliau menegaskan, komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah perlu diterjemahkan melalui penelitian terhadap aliran wang berjumlah besar itu.

“Pihak-pihak berkuasa seperti SPRM, polis, LHDN dan Bank Negara wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang RM50 juta itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kadir turut membangkitkan kemungkinan dana berkenaan melibatkan sumbangan individu atau syarikat yang mempunyai kepentingan dalam kontrak kerajaan, sekali gus menuntut penelitian terhadap asal-usulnya.

Gesaan itu turut disuarakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang pada 7 November lalu meminta Umno mengesahkan atau menafikan dakwaan mengenai sumbangan kontraktor projek jalan raya.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sebelum ini turut mendesak SPRM dan BNM mengaudit dana berkenaan bagi memastikan ia bebas daripada unsur pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, bekas anggota panel pemantau SPRM, Walter Sandosam berkata, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan audit terhadap sumbangan derma, sambil menyifatkan kutipan itu sebagai inisiatif peribadi Umno.

Umno pada Jumaat lalu melunaskan denda RM50 juta Najib sebagai sebahagian syarat pengampunan diraja yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara susulan persoalan undang-undang berhubung tafsiran pengampunan bersyarat berkenaan serta Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.

BBerkaitan

Latest articles