Tiada Keperluan AG Menghadap Agong Berhubung Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada keperluan untuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan penjelasan berhubung pelaksanaan titah tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan melalui Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, keputusan yang dibuat menerusi proses berkenaan tidak seharusnya dipertikaikan selepas titah diraja dikeluarkan mengikut saluran yang sewajarnya.

“Jadi, apabila Agong sudah menitahkan perkara itu melalui proses yang sewajarnya, iaitu menerusi lembaga pengampunan, keputusan berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk peguam negara diarahkan menghadap Agong bagi memberikan penjelasan,” katanya, lapor Berita Harian.

Kenyataan Asyraf itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mohd Dusuki menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi menjelaskan isu berbangkit mengenai pelaksanaan titah tahanan di rumah terhadap Najib.

Anwar sebelum ini menegaskan kerajaan memperakui titah serta bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, selain menyatakan persiapan sedang dilakukan bagi memenuhi keputusan berkenaan dan tanggungjawab pelaksanaannya.

Kontroversi itu memuncak selepas UMNO mengumumkan pembayaran penuh denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib menerusi kempen kutipan sumbangan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran itu direkodkan. Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah wajar ditangguhkan sementara bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Istana Negara hari ini menegaskan bahawa sebarang tindakan mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah boleh menjurus kepada perbuatan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara turut menegaskan perintah berkenaan jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang ambiguiti, selain tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.

Menurut kenyataan itu, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi dan tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan mengenai pelaksanaannya.

Bagaimanapun, AGC hari ini menjelaskan permohonan penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah itu bukan bertujuan mempertikaikan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, AGC berkata, penelitian diperlukan berhubung skop dan kesan perintah pelepasan berkenaan, khususnya sama ada ia hanya melibatkan pembayaran denda atau membolehkan baki hukuman penjara dalam kes SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah.

AGC turut membangkitkan persoalan sama ada perintah itu membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai dijalani.

BBerkaitan

Latest articles