MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah sokongan ahli dan penyokong PAS meskipun wujud kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, persefahaman pada peringkat kepimpinan perlu disusuli usaha mendekati pengundi serta meminta sokongan secara langsung di akar umbi.
“Jangan ambil mudah sokongan daripada orang PAS. Walaupun kita nampak gelombang itu cantik, minta undi daripada mereka, merayu undi daripada mereka.
“Ini cara orang Melayu, cara orang Malaysia, kita minta, kita merayu. Jangan ambil mudah,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seri Siantan, Pengkalan Batu.
Khairy berkata, kerjasama itu perlu diterjemahkan melalui sokongan timbal balik, termasuk kesediaan ahli dan penyokong UMNO mengundi calon PAS di kawasan yang ditandingi parti berkenaan.
Beliau secara khusus menyeru penyokong UMNO di Bukit Katil dan Paya Rumput memberikan sokongan penuh kepada calon PAS.
Pada masa sama, beliau meminta penyokong PAS membantu memenangkan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aishah Mahmud.
Menurutnya, kewujudan persefahaman antara pemimpin tidak bermakna calon boleh menganggap sokongan pengundi akan diperoleh secara automatik.
Dalam pada itu, Khairy menegaskan kerjasama UMNO dan PAS tidak bertujuan meminggirkan masyarakat bukan Melayu.
Katanya, kerjasama berkenaan turut melibatkan rakan parti yang mewakili masyarakat berbilang kaum, termasuk MCA dan MIC.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya menganggotai Jemaah Menteri bersama pemimpin PAS, beliau tidak melihat tindakan atau kenyataan mereka dalam mesyuarat Kabinet yang menimbulkan rasa tidak senang wakil MCA dan MIC.
Khairy turut menolak gambaran bahawa kerjasama kedua-dua parti Melayu itu akan menyebabkan kaum lain kehilangan tempat dalam pentadbiran.
Menurutnya, mesej bahawa kerajaan akan menjaga kepentingan semua rakyat, termasuk masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli, perlu disampaikan dengan jelas kepada pengundi.
Beliau berharap kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada pembentukan kerajaan yang kukuh, stabil dan mempertahankan hak semua kaum.










