ISTANBUL: Tiada alasan untuk terus menangguhkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas syarat pembayaran denda RM50 juta diselesaikan, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan, termasuk oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipertikaikan.
“Apabila perkara itu sudah dipenuhi (pembayaran denda), tidak sepatutnya ada sebarang taktik melengah-lengahkan pelaksanaan titah Lembaga Pengampunan atau membiarkannya tidak dipatuhi.
“Pada pandangan saya, perkara yang sudah diputuskan itu amat jelas dan perlu dipatuhi, termasuk oleh AGC,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak berniat mencabar bidang kuasa mana-mana jabatan atau pemegang jawatan, sebaliknya mahu memastikan perintah Istana Negara dilaksanakan sebagaimana ditetapkan.
Beliau turut berharap tiada percanggahan dengan kenyataan terdahulu AGC berhubung kes Najib.
Semalam, UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta bagi kes SRC International sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus memenuhi syarat pengampunan bersyarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan mengumumkan Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, termasuk membenarkan baki hukuman penjara enam tahun dijalani secara tahanan di rumah.
Berdasarkan keputusan itu, Najib perlu mematuhi semua syarat ditetapkan sehingga tamat tempoh hukumannya pada 23 Ogos 2028.
Sebelum ini, hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Perdana Menteri itu dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan pada Februari 2024.










