Anwar Arah Peguam Negara Segera Menghadap Agong, Jelaskan Isu Tahanan Rumah Najib

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun serta menjelaskan kemelut pelaksanaan titah tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah mempertikaikan kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya komited membuat persiapan bagi memenuhi keputusan serta tanggungjawab berkaitan pelaksanaan titah berkenaan.

“Saya nak jelaskan soal kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipertikai.

“Peguam Negara telah pun memohon untuk menghadap memohon ampun Tuanku, kemudian menjelaskan apa permasalahan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Selangor International Trade Centre, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan permohonan menangguhkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bukan bertujuan mempertikaikan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, AGC berkata terdapat persoalan undang-undang berhubung skop dan kesan arahan pelepasan berkenaan, khususnya sama ada ia hanya berkaitan pembayaran denda atau turut membolehkan baki hukuman penjara dalam kes SRC International diteruskan melalui tahanan rumah.

Persoalan turut timbul sama ada perintah itu membawa kesan bahawa hukuman Najib dalam kes SRC International sudah selesai dijalani.

Menurut AGC, perkara itu mempunyai kaitan langsung dengan perintah Mahkamah Tinggi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menetapkan hukuman penjara bagi kes berkenaan hanya bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

BBerkaitan

Latest articles