KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya tidak mengingkari atau mengambil mudah titah Yang di-Pertuan Agong, khususnya berkaitan pelaksanaan kuasa pengampunan diraja yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai kewajipan menjunjung tinggi Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara.
Menurutnya, kerajaan atau mana-mana pihak mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah Yang di-Pertuan Agong yang dibuat mengikut lunas perundangan negara.
“Adalah menjadi kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut membangkitkan kontroversi Titah Adendum yang dikaitkan dengan pengampunan diraja sebelum ini, yang menurutnya kembali mencetuskan persoalan apabila episod hampir sama berulang.
Hamzah menegaskan, sebarang tindakan mengingkari, menafikan atau meremehkan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan besar terhadap institusi Raja dan negara.
“Perlu ditegaskan apa-apa perlakuan ingkar, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana pihak adalah merupakan satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya memutuskan bahawa pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong bersifat non-justiciable.
Ini bermaksud keputusan berkenaan tidak boleh dipersoalkan atau disemak oleh mana-mana pihak termasuk mahkamah, menurut Hamzah.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyatakan secara peribadi tidak bersetuju, sedangkan Perdana Menteri itu sendiri pernah menerima pengampunan diraja selepas disabitkan kesalahan jenayah dan menjalani hukuman penjara.
“Sebagai pihak yang mendapat pengampunan diraja di bawah Perkara 42, selepas disabitkan kesalahan jenayah dan dihukum penjara, Anwar sepatutnya lebih faham tentang obligasi kerajaan menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong, tetapi beliau menyebut ‘secara peribadi tidak bersetuju’,” katanya.
Hamzah menegaskan kerajaan tidak seharusnya mengamalkan pendekatan selektif dalam menghormati titah diraja kerana institusi berkenaan merupakan tonggak kedaulatan negara.
“Memelihara kewibawaan dan kedaulatannya bukan pilihan politik, tetapi tanggungjawab Perlembagaan setiap kerajaan,” katanya.










