Hampir Dua Bulan, PAS Desak Kerajaan Perjelas Kelewatan Titah Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan memberikan penjelasan menyeluruh berhubung kelewatan pelaksanaan titah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa diperoleh hampir dua bulan lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan mengapa pelaksanaan titah berkenaan masih tertangguh sedangkan perkara itu telah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM) pada 18 September 2026, Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Beliau berkata, pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda berjumlah RM50 juta.

“Pentakrifan biasa undang-undang dan juga pemahaman awam daripada perkara di atas adalah jelas bahawa setelah pembayaran denda sejumlah RM50 juta diselesaikan, maka Datuk Seri Najib bolehlah menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Takiyuddin berpandangan isu berhubung dua interpretasi yang dikatakan perlu diteliti oleh Jabatan Peguam Negara antara titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong dengan Order of Discharge on Payment of Fine yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya tidak lagi berbangkit.

Katanya, sekiranya perkara yang perlu diteliti itu mempunyai kaitan dengan penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara sepatutnya mendapatkan penjelasan mahkamah pada tarikh berkenaan.

“Sepatutnya Jabatan Peguam Negara perlu mendapat klarifikasi daripada Mahkamah pada tarikh tersebut, bukannya setelah pihak pempetisyen bersusah payah mendapat dana kewangan bagi melangsaikan denda yang dikenakan ke atasnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara selaku penjaga kepentingan awam (custodian of the public interest), perlu memberikan penjelasan yang jelas dan telus kepada rakyat berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, prinsip keadilan perlu ditegakkan kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan sesuatu hukuman, termasuk memastikan pelaksanaan keputusan tidak ditangguhkan tanpa penjelasan munasabah.

“Justice delayed is justice denied (keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan) adalah suatu prinsip yang amat perlu ditegakkan demi keadilan kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan sesuatu hukuman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles