Akmal Persoal AGC Ambil Masa Terlalu Lama Teliti Perintah Tahanan Rumah Najib

JASIN: Pemuda UMNO mempersoalkan kelewatan Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti kedudukan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, meskipun keputusan Lembaga Pengampunan dibuat sejak 18 September lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tempoh lebih sebulan sepatutnya mencukupi untuk AGC mendapatkan penjelasan dan meneliti implikasi undang-undang berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat serta Perintah Pelepasan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara itu masih belum diselesaikan sehingga 6 November ini.

Akmal berkata, UMNO sudah memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib meskipun jumlah itu besar, hasil sumbangan ahli parti dan orang ramai.

Beliau berkata demikian menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya.

Najib hari ini selesai membayar denda RM50 juta bagi kes SRC International di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan pelaksanaannya ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian dan penjelasan lanjut diperoleh mengenai tafsiran perintah pengampunan serta kesan Perintah Pelepasan berkenaan.

AGC menegaskan langkah itu bukan untuk mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi kedudukan undang-undang.

Mengulas lanjut, Akmal berkata rakyat mengikuti perkembangan isu itu dan akan menilai tindakan kerajaan menerusi pilihan raya akan datang.

“Rakyat ini tidak bodoh. Apa yang kamu buat ini, rakyat tahu apa yang kamu buat. Tak apalah, insya-Allah, jangan risau, rakyat akan balas di dalam peti undi nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles