KUALA LUMPUR: Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta secara rasmi diwartakan sebagai penjara bagi membolehkan pelaksanaan tahanan di rumah.
Pengisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi Warta Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Penjara 1995.
Warta berkenaan menetapkan bangunan dan kawasan seluas 4,558.975 meter persegi di alamat itu sebagai penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan individu dalam jagaan sah.
Perkembangan itu menyusul selepas UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan pelaksanaan tahanan di rumah itu wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sementara itu, firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib memaklumkan bekas Presiden UMNO itu masih belum dibebaskan dari Penjara Kajang.










