KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kelewatan projek loji rawatan air (LRA) di negeri itu yang didakwa masih belum diselesaikan.
Beliau mendakwa, terdapat dua projek LRA yang menjadi persoalan besar iaitu LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau, meskipun kerajaan negeri meraikan kejayaan menyiapkan LRA Jenun Baru.
Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan membabitkan penggunaan wang rakyat menerusi geran Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan, bukannya pinjaman.
“Saya tak bimbang dia maki hamun dan beri macam-macam gelaran tak baik kepada saya.
“Itu lumrah kita buat kerja, ada yang caci dan tak suka. Bak kata orang, akhlak cerminan iman.
“Yang lebih saya bimbang tindakan mengherdik saya ini sebenarnya nak kalih isu yang lebih besar daripada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Akmal berkata, beliau beberapa kali turun ke tapak projek LRA Jenun Baru yang baru siap selain meninjau loji-loji rawatan air lain.
Beliau mendakwa, jumlah projek LRA yang lewat dan tidak siap di Kedah lebih banyak berbanding apa yang diketahui umum.
“Ada dua gajah besar yang cuba disembunyikan oleh beliau iaitu LRA yang terbengkalai di Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau.
“Kesannya lebih besar kerana dua projek ini dibiayai wang rakyat menggunakan geran Kerajaan Persekutuan yang diberi kepada Kerajaan Negeri untuk mereka laksanakan dengan kos ratusan juta ringgit, bukannya pinjaman,” katanya.
Mengulas lanjut, projek LRA Sungai Limau dilaporkan berdepan masalah pelaksanaan sehingga kerja-kerjanya terhenti sejak Julai 2024, sekali gus menyebabkan kementerian mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan kontraktor asal.
Pada Mei 2026, Akmal memaklumkan kerajaan Persekutuan perlu menyediakan tambahan kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek berkenaan yang mempunyai kos asal sekitar RM100 juta.
Proses pemulihan projek itu pula dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun selepas kontraktor penyelamat dilantik.
Sementara itu, projek menaik taraf LRA Bukit Selambau di Sungai Petani turut berdepan kelewatan meskipun diberikan empat kali lanjutan masa (EOT).
Pada April 2026, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek mendakwa projek itu terhenti selepas kontraktor gagal menyiapkannya walaupun diberikan beberapa lanjutan masa.
Kelewatan tersebut turut dikaitkan dengan gangguan kepada bekalan air melibatkan kira-kira 15,000 akaun pengguna di sekitar Sungai Petani, Sungai Lalang, Merbok dan Tanjung Dawai.
Dalam perkembangan sama, Akmal turut mengulas jemputan Sanusi supaya beliau menghasilkan kandungan di TikTok berhubung kejayaan menyiapkan LRA Jenun Baru.
Menurutnya, menyiapkan projek pembangunan merupakan tanggungjawab asas kerajaan dan tidak sepatutnya diraikan secara berlebihan sekiranya projek berkenaan sebenarnya lewat daripada jadual asal.
“Memang tugas mana-mana kerajaan di dunia ini untuk govern dengan baik, termasuk pastikan projek pembangunan berjalan lancar.
“Kalau tak siap, kita kena troubleshoot atau selesaikan,” katanya.
Beliau berkata, sejak berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kemudian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beliau lebih cenderung meninjau projek bermasalah kerana ia membabitkan wang serta nasib orang ramai.
“Padahal memang itu tugas kerajaan siapkan projek.
“Adakah selepas ini kalau berjaya datang ke tempat kerja pun jadi satu pencapaian?
“Jadi akhirnya kita sebagai masyarakat meraikan budaya kerja yang mediocre,” katanya.
Akmal turut mempersoalkan sama ada kelewatan menyiapkan projek kini boleh dianggap sebagai satu pencapaian kepada Menteri Besar Kedah.
“Jadi kepada Sdr Sanusi, thanks, but no thanks,” katanya.
Untuk rekod, LRA Jenun Baru diserahkan pada 4 November 2026 dengan kapasiti pengeluaran 55 juta liter sehari (MLD), sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan fasiliti Jenun kepada 110 MLD.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 36,850 akaun pengguna.










