ASUNCION: Presiden Paraguay, Santiago Peña mengumumkan peletakan jawatan selepas krisis membabitkan Ueno Bank mencetuskan kekacauan kewangan, bantahan rakyat dan desakan supaya beliau disingkirkan daripada jawatan.
Menurut laporan Reuters pada Jumaat, Peña mengumumkan keputusan itu menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial pada Khamis ketika berdepan tekanan politik susulan tindakan Bank Pusat Paraguay mengambil alih Ueno Bank.
Peña berkata, keputusan tersebut dibuat demi memastikan kestabilan negara, keamanan sosial serta memelihara institusi demokrasi.
“Saya berbuat demikian dengan mengambil kira kestabilan negara kita, keamanan sosial dan keperluan untuk memelihara institusi demokrasi,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada rakyat Paraguay sekiranya gagal memenuhi kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada rakyat. Jika pada bila-bila masa saya gagal, ia tidak pernah menjadi niat saya untuk mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Krisis itu tercetus selepas Bank Pusat Paraguay mengambil tindakan terhadap Ueno Bank berikutan kegagalan institusi kewangan berkenaan memenuhi keperluan minimum kecukupan modal.
Menurut laporan agensi berita EFE, nisbah kecukupan modal bank itu jatuh di bawah 50 peratus daripada paras minimum yang ditetapkan pihak berkuasa selepas pelarasan dibuat terhadap penyata kewangannya.
Tindakan tersebut menyebabkan operasi bank berkenaan dihentikan, sekali gus menjejaskan kira-kira 2.9 juta pelanggan di negara Amerika Selatan itu yang tidak dapat mengakses akaun masing-masing.
Laporan Associated Press (AP) pula menyebut Ueno Bank merupakan antara institusi pemberi pinjaman digital utama di Paraguay yang mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran kerajaan.
Bank berkenaan dilaporkan menguruskan kira-kira AS$800 juta (RM3.36 bilion) hingga AS$850 juta (RM3.57 bilion) dana awam, termasuk wang daripada institusi kerajaan dan dana berkaitan pencen.
Krisis itu turut mencetuskan persoalan mengenai hubungan perniagaan Peña dengan Grupo Vázquez, syarikat induk Ueno Bank, apabila beliau dilaporkan pernah memiliki pegangan saham dalam kumpulan berkenaan sebelum menjualnya pada Mac 2025.
Pembangkang mendakwa wujud konflik kepentingan, salah guna dana pencen serta kelemahan pengawasan institusi berkaitan yang menyumbang kepada kemelut tersebut.
Peña bagaimanapun menafikan sebarang salah laku berkaitan hubungannya dengan kumpulan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Dewan Perwakilan Paraguay meluluskan usul memulakan prosiding pemecatan (impeachment) terhadap Peña walaupun beliau sudah mengumumkan peletakan jawatan.
Menurut laporan Anadolu Agency, kesemua 78 ahli Parlimen yang hadir menyokong usul berkenaan dalam undian pada Khamis.
Prosiding seterusnya dijadualkan dibawa ke Senat untuk menentukan tindakan terhadap kedudukan Peña.
Sementara itu, Naib Presiden Paraguay, Pedro Alliana disebut sebagai pengganti sekiranya peletakan jawatan Peña diterima mengikut proses perlembagaan negara itu.
Krisis Ueno Bank turut mencetuskan demonstrasi di ibu negara Asunción apabila pendeposit, pesara dan pekerja menuntut wang mereka dikembalikan serta pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Laporan AP turut menyebut pihak berkuasa telah menahan lapan eksekutif kanan Ueno Bank, manakala 27 pegawai bank dan individu berkaitan berdepan pertuduhan berhubung dakwaan salah laku kewangan.
Pihak berkuasa kini berusaha memindahkan akaun pelanggan ke institusi kewangan lain bagi melindungi kepentingan pendeposit susulan tindakan terhadap bank berkenaan.










