AYER KEROH: Kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat menjadi antara fokus utama manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan 113 inisiatif menerusi enam bidang tumpuan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Daripada jumlah itu, 20 komitmen diberi keutamaan khusus dengan memberi tumpuan kepada perkara yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat, sekali gus menjadi antara tawaran utama kedua-dua gabungan politik itu kepada 687,697 pengundi di negeri berkenaan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata manifesto bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara itu disusun berdasarkan keperluan rakyat yang merangkumi pelbagai kelompok umur dan latar belakang.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, antara perkara yang diberi perhatian termasuk kemampuan memiliki kediaman, tekanan perbelanjaan harian, akses pendidikan, peluang menjana pendapatan serta jaminan kebajikan masyarakat.
Menurutnya, keperluan setiap kelompok masyarakat perlu ditangani secara berbeza, termasuk memastikan golongan berusia mendapat sokongan dan kemudahan sewajarnya.
“Daripada keseluruhan inisiatif terbabit, 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan harian rakyat.
“Bagi memahami maksud komitmen ini, kita perlu melihatnya bukan sekadar sebagai angka atau senarai program, tetapi melalui keperluan masyarakat pada setiap peringkat kehidupan,” katanya ketika melancarkan manifesto bersama BN-PN bagi PRN Melaka, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, perancangan pembangunan Melaka juga perlu melangkaui keperluan semasa memandangkan negeri itu bakal berdepan perubahan ekonomi dan tuntutan pembangunan yang semakin mencabar.
Katanya, perkembangan teknologi serta perubahan corak pasaran pekerjaan turut menuntut persediaan awal bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam merebut peluang baharu.
Beliau berkata, manifesto berkenaan turut menjadi landasan penyelarasan dasar antara BN dan PN bagi memastikan agenda pembangunan negeri serta kepentingan rakyat bergerak seiring.
“Kerjasama BN dan PN perlu dibuktikan melalui keupayaan melaksanakan setiap perancangan dengan tersusun, mengurus pentadbiran secara bertanggungjawab serta memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat,” katanya.










