Anwar Tidak Setuju UMNO Bayar Denda RM50 Juta Najib, Bimbang Rasuah Dipandang Remeh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana bimbang ia memberi mesej salah kepada masyarakat bahawa rasuah berskala besar boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, meskipun memahami semangat persahabatan UMNO terhadap bekas presidennya itu, hubungan sedemikian tidak seharusnya mengatasi prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Pandangan peribadi… saya tidak setuju kerana sementara kita ada semangat persahabatan dengan Najib, tapi itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, prinsip integriti dan penolakan terhadap rasuah perlu diterapkan kepada generasi muda tanpa mengira kedudukan, pangkat atau hubungan seseorang.

“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusan UMNO untuk membayar denda berkenaan adalah hak parti itu, manakala segala proses perundangan serta keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati selaras dengan Perlembagaan.

“Dan soal keputusan UMNO itu hak mereka dan proses undang-undang kita hormat cara prosesnya ataupun dari segi keputusan yang di Yang di-Pertuan Agong, itu kita hormat dari segi perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, UMNO mengumumkan kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak telah mencapai sasaran dan mencukupi bagi menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengesahkan semua urusan pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai pagi tadi.

Tabung berkenaan dilancarkan pada 18 September lalu susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles