KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dicadangkan supaya dilibatkan dalam urusan peruntukan lebihan kementerian bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mengikut tatakelola ditetapkan.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, penglibatan PAC penting bagi memperkukuh pengawasan Parlimen terhadap penggunaan wang awam, khususnya apabila kementerian memerlukan peruntukan tambahan atau berdepan perbelanjaan melebihi jumlah diluluskan.
Menurutnya, peranan PAC sudah diperuntukkan dengan jelas menerusi Peraturan Mesyuarat 77(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memberi mandat kepada jawatankuasa itu untuk memeriksa akaun Persekutuan serta penggunaan wang yang diluluskan Parlimen bagi membiayai perbelanjaan awam.
Beliau berkata, Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) turut membolehkan PAC meneliti perkara lain yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa berkenaan atau dirujuk kepadanya oleh Dewan.
“Selain itu, Peraturan Mesyuarat 77(5) memberikan kuasa kepada PAC untuk memanggil individu, mendapatkan dokumen dan rekod serta mengemukakan laporan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Adnan berkata, Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan mekanisme berkaitan perbelanjaan tambahan atau perbelanjaan yang melebihi jumlah diluluskan, termasuk pembentangan anggaran tambahan kepada Dewan Rakyat.
Justeru, beliau berpandangan penglibatan PAC dapat memperkukuh mekanisme semak dan imbang Parlimen, selain memastikan setiap penggunaan peruntukan lebihan kementerian diteliti serta dipertanggungjawabkan.
Katanya, langkah itu penting demi melindungi kepentingan rakyat dan memastikan pengurusan kewangan negara dilaksanakan dengan lebih berhemah.










