PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan merogol, selepas meneliti alasan penghakiman panel hakim berkenaan.
AGC berkata, permohonan itu akan dikemukakan mengikut Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, dengan hujahan tertumpu kepada kewujudan keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan bagi membolehkan mahkamah menggunakan bidang kuasa semakannya.
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membebaskan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menerusi keputusan majoriti 2-1 dalam rayuan akhirnya.
Tertuduh sebelum ini dibebaskan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 April 2023 selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, namun Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.










