Anwar Cabar Menteri Kabinet Bawa Rungutan Ke Mesyuarat, Bukan Berpolitik

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar menteri Kabinet yang lantang mengkritik kerajaan perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya berani menyuarakan segala ketidakpuasan hati mereka secara terbuka dalam mesyuarat Kabinet, bukannya mengambil kesempatan berpolitik di pentas kempen.

Beliau menegaskan, sebarang perbezaan pendirian dalam kalangan anggota kerajaan perlu diselesaikan melalui saluran rasmi, bukannya dengan menyerang rakan sendiri ketika masih memegang jawatan dalam pentadbiran persekutuan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, mesyuarat Kabinet yang dijadual berlangsung esok menyediakan ruang mencukupi untuk mana-mana menteri membangkitkan isu atau kritikan terhadap kerajaan.

“Ini kawan-kawan saya dalam kerajaan, dia main kempen. Dia serang kerajaan tetapi dalam kerajaan, dia TPM, menteri ada, menteri itu, menteri ini.

“Kalau setuju… tak setuju, kita cakap dalam Kabinet kita. Esok pagi pukul 9 pagi mesyuarat, 9 pagi sampai 12 tengah hari, tiga jam. Cakaplah. Ini politik baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Harapan di Dewan Pay Fong, malam ini.

Teguran itu bukan kali pertama dilontarkan Anwar apabila beliau sebelum ini turut membidas pemegang jawatan persekutuan yang menggunakan pentas kempen untuk mengkritik rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan ketika PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu.

Kenyataan itu sebelum ini mendapat reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), apabila beliau menyatakan Anwar boleh memecat menteri daripada BN sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan mereka.

Bagaimanapun, landskap politik PRN Melaka kali ini menyaksikan PH dan BN tidak bekerjasama meskipun kedua-duanya merupakan rakan dalam kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, BN memilih untuk menjalin kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyaksikan percaturan politik berbeza di peringkat negeri berbanding gabungan yang membentuk kerajaan pusat.

BBerkaitan

Latest articles