MELAKA: Penolakan terhadap politik berasaskan perkauman dan penindasan agama di Amerika Syarikat (AS) perlu dijadikan iktibar oleh Malaysia dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kemenangan Abdul El-Sayed sebagai anggota Senat AS pertama beragama Islam mencerminkan perubahan landskap politik negara itu yang semakin terbuka terhadap kepelbagaian kaum dan agama.
Menurut Anwar, perkembangan berkenaan membuktikan bahawa sentimen perkauman tidak seharusnya menjadi asas dalam perjuangan politik, sebaliknya demokrasi perlu memberi ruang kepada semua golongan untuk terlibat secara adil.
“Mereka faham demokrasi, benci dengan fahaman perkauman… yang kalahkan (Parti Republikan pimpinan) Presiden Donald Trump ini adalah kelompok yang benci dengan fahaman perkauman.
“Mereka ini bawa kempen benci kepada perkauman, benci kepada penindasan agama, dan bawa mesej baharu.
“…sebab kalau fahaman perkauman itu bangkit, yang rugi umat Islam, umat minoriti,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Madani Melaka DUN Klebang di Taman Bukit Rambai, di sini.
Pilihan raya pertengahan penggal AS menyaksikan El-Sayed, calon Parti Demokrat, memenangi kerusi Senat Michigan sekali gus mencipta sejarah sebagai Muslim pertama dipilih ke Dewan Senat negara itu.
Anwar berkata, kemenangan berkenaan wajar dijadikan pedoman bahawa penolakan terhadap fahaman perkauman mampu membawa perubahan dalam landskap politik sesebuah negara, khususnya melalui peranan wakil rakyat yang memperjuangkan keterangkuman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak perlu mencontohi sepenuhnya model politik AS kerana negara ini mempunyai acuan, identiti dan keunikan tersendiri sebagai sebuah negara berbilang kaum yang makmur.
Sebaliknya, pengalaman itu boleh dijadikan inspirasi untuk terus membina budaya politik yang menghormati perbezaan, menolak diskriminasi serta memastikan setiap kelompok masyarakat mendapat ruang yang sewajarnya dalam sistem demokrasi negara.










