Injunksi Mahkamah Ancam Kebebasan Media, Wacana Kepentingan Awam – Murray Hunter

KUALA LUMPUR: Penggunaan perintah injunksi sementara oleh mahkamah bagi menyekat penerbitan dan perbincangan mengenai isu berkepentingan awam di Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan media serta hak bersuara, menurut penulis dan penganalisis politik, Murray Hunter.

Dalam artikel terbaharunya yang diterbitkan menerusi platform Substack pada 5 November, Hunter berkata dua keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai kecenderungan mahkamah memberikan perintah yang berkesan menyekat perbincangan awam sebelum sesuatu dakwaan diuji sepenuhnya dalam perbicaraan.

Beliau berkata kes pertama membabitkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang memperoleh perintah mahkamah bagi menghalang aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard daripada mengulangi dakwaan berhubung penjualan dan penyewaan aset kereta api.

Kes kedua pula membabitkan ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang memperoleh perintah menghalang agensi berita antarabangsa Bloomberg daripada menerbitkan profil mengenai peralihannya daripada dunia politik kepada bidang korporat yang membabitkan kontrak serta perolehan berkaitan kerajaan.

Mengulas kes RAC, Hunter berkata perkara itu berpunca daripada ucapan Chegubard pada satu program PAS pada September 2026, apabila aktivis berkenaan mendakwa lokomotif dan gerabak kereta api dijual sebagai besi buruk sebelum disewa semula menerusi projek Strategi Stok Gerabak (Rolling Stock Strategy) bernilai berbilion ringgit.

Chegubard turut menyifatkan perkara itu sebagai skandal yang lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, RAC menafikan dakwaan berkenaan dengan menjelaskan aset terbabit sebenarnya diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih dan semua prosedur sewajarnya telah dipatuhi.

Mahkamah Tinggi Seremban kemudian memberikan injunksi sementara yang melarang pengulangan kenyataan dipertikaikan serta mengarahkan kandungan berkaitan yang diterbitkan dalam talian dipadamkan.

Pendengaran antara pihak-pihak bagi kes itu ditetapkan pada 20 Januari 2027.

Mengenai kes Bloomberg, Hunter berkata Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin memberikan injunksi sementara secara sebelah pihak (ex parte) pada 2 November 2026 selepas peguam Farhash berhujah bahawa draf artikel berkenaan mengandungi dakwaan palsu dan berunsur fitnah.

Dakwaan itu berkaitan peralihan Farhash daripada tugas sebagai pembantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada dunia perniagaan, termasuk isu perolehan kerajaan, kontrak dan perkara berkaitan kawal selia.

Perintah itu menghalang penerbitan kenyataan yang dikenal pasti serta dakwaan seumpamanya sehingga pendengaran antara pihak-pihak yang dijadualkan pada 16 November ini.

Hunter turut menyatakan Farhash sebelum ini pernah mengambil tindakan saman fitnah terhadap beberapa organisasi media, manakala percubaan terdahulu untuk mendapatkan injunksi terhadap MalaysiaNow ditolak Mahkamah Rayuan.

Menurut Hunter, undang-undang fitnah Malaysia membenarkan pemberian injunksi sementara dan injunksi quia timet bagi menghalang penerbitan yang dijangka berlaku pada masa hadapan.

Bagaimanapun, katanya, prinsip undang-undang yang telah lama diterima pakai menetapkan perintah sedemikian hanya wajar diberikan dalam kes yang benar-benar jelas, apabila kenyataan berkenaan tidak dapat dipertikaikan sebagai fitnah, tiada alasan untuk mempercayainya benar dan tiada pembelaan yang berkemungkinan berjaya.

Beliau berkata kepentingan awam juga merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan mahkamah, khususnya apabila larangan penerbitan boleh menyebabkan dakwaan salah laku tidak lagi dibincangkan secara terbuka.

“Plaintif sudah mempunyai remedi undang-undang biasa, iaitu mereka boleh menyaman untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya kenyataan terbabit terbukti palsu dan berunsur fitnah.

“Kebenaran, ulasan saksama mengenai perkara berkepentingan awam serta perlindungan terhadap kewartawanan bertanggungjawab kekal sebagai pembelaan penuh atau sebahagian dalam kes sedemikian,” katanya.

Hunter berkata perintah sekatan sebelum perbicaraan membawa implikasi lebih besar kerana ia menghalang sesuatu kenyataan daripada disuarakan ketika pembelaan undang-undang berkenaan masih belum diputuskan.

Beliau berkata apabila perkara yang dipertikaikan melibatkan badan berkanun yang menguruskan aset awam, urusan penyewaan bernilai berbilion ringgit atau aktiviti komersial individu yang mempunyai hubungan politik, masyarakat mempunyai kepentingan sah untuk meneliti dan mempersoalkannya.

Katanya, dakwaan yang dibuat mungkin akhirnya terbukti tidak berasas dan dalam keadaan itu, ganti rugi serta injunksi kekal selepas prosiding mahkamah boleh memberikan penyelesaian sewajarnya.

“Bagaimanapun, menyekat perbincangan sementara waktu berisiko mewujudkan satu tempoh apabila persoalan mengenai integriti perolehan, pengurusan aset atau konflik kepentingan tidak dapat diteliti secara bebas,” katanya.

Mengulas kesan lebih luas, Hunter berpandangan perkembangan itu membimbangkan kerana portal berita dalam talian sudah mengamalkan tahap penapisan kendiri tertentu apabila berhadapan laporan sensitif yang membabitkan kepentingan pihak berkuasa atau individu berpengaruh.

Katanya, penggunaan injunksi secara berulang terhadap aktivis dan organisasi media antarabangsa boleh meningkatkan kecenderungan pengamal media untuk mengelakkan isu berkenaan daripada dilaporkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara, tertakluk kepada sekatan tertentu termasuk undang-undang berkaitan fitnah.

“Mahkamah Malaysia masih mempunyai mekanisme untuk melindungi reputasi seseorang. Persoalan yang dibangkitkan menerusi kes-kes ini ialah sama ada mekanisme berkenaan digunakan dengan cukup berhati-hati apabila ucapan yang dipertikaikan melibatkan pengurusan sumber awam atau tindakan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa,” katanya.

Hunter berkata sekiranya perintah sementara menjadi kaedah biasa untuk mengeluarkan sesuatu isu daripada perhatian masyarakat sementara menunggu proses litigasi yang panjang, ruang perbincangan terbuka mengenai kemungkinan salah laku akan terus mengecil.

Beliau turut menyifatkan sikap tidak peduli sebahagian besar masyarakat terhadap perkembangan itu sebagai faktor yang mempercepatkan keadaan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles