KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mendedahkan kandungan perjanjian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lalu, khususnya membabitkan jumlah peruntukan dan kaedah pelaksanaannya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendedahan itu penting bagi memastikan ketelusan berhubung persetujuan yang dimeterai antara kerajaan dengan wakil rakyat pembangkang berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan itu berbeza dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.
Menurutnya, MoU berkenaan secara jelas menetapkan bahawa kandungannya perlu didedahkan kepada umum menerusi Fasal 6 yang menyentuh aspek kerahsiaan.
“Fasal enam, tiada kerahsiaan. Pihak-pihak dengan ini bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.
“Saya ingat lagi selepas hari itu ditandatangani MoU ini, terus siarkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihaknya mahu mengetahui sama ada perjanjian CSA yang ditandatangani pada 31 Oktober lalu turut didedahkan kepada orang ramai.
Beliau turut membandingkan perjanjian itu dengan draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri bagi pihak kerajaan pada 1 Ogos 2024.
Katanya, draf berkenaan tidak menyatakan secara khusus jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang, sebaliknya hanya merujuk kepada Dana Pembangunan Kawasan Parlimen (CDF) berdasarkan peraturan dan tatacara penggunaan dana berkenaan.
“Jumlah peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang tersebut adalah sepertimana di dalam Jadual C. Jadual C pun tak bagi. Tak bagi juga.
“Jadi, kita tak tahu cadangan dia nak beri berapa,” katanya.
Menurut Takiyuddin, pendekatan kerajaan pimpinan Ismail Sabri pada 2021 pula menetapkan bahawa Ahli Parlimen PH menerima peruntukan setara dengan wakil rakyat kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan jumlah peruntukan yang dipersetujui dalam CSA terbaharu, kaedah penyaluran serta tempoh pelaksanaannya.
“Yang kita nak tahu dan kita nak minta didedahkan, yang ditandatangani pada 31 Oktober baru-baru ini, berapa peruntukan diberi, bagaimana kaedahnya dan apakah pelaksanaannya itu, bila nak dilaksanakannya?” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima tawaran CSA daripada kerajaan, berbeza dengan 13 wakil rakyat pembangkang yang menandatangani perjanjian berkenaan.










