KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap beliau di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.
Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad selaku plaintif memfailkan writ saman serta pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.
Mohd Shuhaily dinamakan sebagai defendan tunggal dalam tindakan itu yang antara lain membabitkan dakwaan penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.
Peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, saman itu difailkan susulan kejadian yang didakwa berlaku ketika Mohd Shuhaily bertindak atas kapasiti peribadinya, tanpa melibatkan Kerajaan Malaysia.
Menerusi kenyataan hari ini, mereka berkata, anak guam mengemukakan empat kausa tindakan terhadap defendan, iaitu tort penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.
Kedua-dua plaintif turut menghargai pendirian tegas kerajaan dalam kes berkenaan bahawa semua pihak, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, tertakluk kepada undang-undang.
Mereka percaya tindakan saman sivil itu merupakan saluran yang tepat untuk mendapatkan keadilan berhubung dakwaan berkenaan.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua anggota polis itu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap Mohammad Faiz dan Muhammad Ekmal Sofwan antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.










