PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Kerajaan Persekutuan mencapai persetujuan secara prinsip untuk memulihkan peruntukan berjumlah RM730,300 bagi program kebajikan dan projek yang telah diluluskan di kawasan Parlimen itu.
Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Lim Wei Jiet berkata, persetujuan itu dimaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.
Ia melibatkan RM500,000 untuk kebajikan penduduk Muar dan RM230,300 bagi projek yang telah diluluskan menerusi sistem myKHAS.
Menurutnya, dana itu akan disalurkan kepada Pejabat Ahli Parlimen Muar.
Kaedah penyaluran masih diperincikan dan kedua-dua pihak akan kembali ke mahkamah pada 7 Disember untuk memaklumkan perkembangannya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, persetujuan itu dicapai selepas kira-kira dua tahun beliau dan tiga pengundi Muar membawa pertikaian berkenaan ke mahkamah.
Katanya, antara penerima yang terlibat ialah surau, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta komuniti kampung.
“Peruntukan ini tidak pergi ke poket saya, ia pergi dan disalurkan terus kepada penduduk Muar,” katanya.
Beliau mendakwa peruntukan yang telah diluluskan itu ditarik balik selepas beliau beralih ke blok pembangkang pada September 2023.
Katanya, tindakan mahkamah itu bertujuan memulihkan dana kebajikan dan peruntukan projek yang sudah diluluskan untuk penduduk Muar.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili pihak responden turut mengesahkan perkara berkenaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi, menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan berhubung mekanisme penyaluran peruntukan itu.
Turut menganggotai panel berkenaan ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Terdahulu, Syed Saddiq dan tiga pengundi Muar memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 23 April 2024.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu kerana ia difailkan di luar tempoh ditetapkan, dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan berkenaan pada 27 Oktober 2025.
Pada 10 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memberikan mereka kebenaran untuk merayu.
Syed Saddiq turut berharap penyelesaian itu membuka ruang kepada pemberian peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.










