KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis hampir kecoh apabila soalan nombor tiga tidak dapat dijawab berikutan ketiadaan Menteri Kesihatan atau wakil kementerian berkenaan di dalam dewan.
Situasi itu berlaku selepas soalan nombor dua yang dikemukakan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kepada Menteri Pengangkutan dilangkau kerana Ahli Parlimen itu tidak hadir ketika tiba giliran untuk mengemukakan soalan.
Soalan berkenaan menyentuh mekanisme penguatkuasaan terhadap warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu sah.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah kes direkodkan serta tindakan susulan bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.
Selepas soalan berkenaan dilangkau, keadaan menjadi tegang apabila soalan nombor tiga oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan kepada Menteri Kesihatan pula tidak dapat dijawab kerana ketiadaan menteri berkenaan atau wakil kementerian.
Soalan itu berkaitan cadangan menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan primer termasuk pembinaan atau penaiktarafan klinik kesihatan di Wangsa Maju yang mempunyai kepadatan penduduk 14,059 orang bagi setiap kilometer persegi.
Ketiadaan wakil kerajaan untuk menjawab soalan berkenaan mencetuskan suasana tegang apabila perkara itu dibangkitkan dalam dewan.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila persidangan memasuki soalan nombor empat yang dikemukakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin kemudian dilihat memasuki dewan, namun kehadirannya hanya selepas soalan berkenaan tiba giliran untuk dijawab.
Wan Saifulruddin meminta penjelasan mengenai mekanisme kerajaan memastikan penduduk Seberang Perai Utara, khususnya di Tasek Gelugor dan Kepala Batas, mendapat manfaat daripada pembangunan Taman Teknologi @ Bertam.
Antara perkara dibangkitkan termasuk peluang pekerjaan, latihan, pemberian kontrak kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta peningkatan pendapatan isi rumah.










