TNB Dinobat Jenama Terbaik 2026-2027 Di World Branding Awards

KUALA LUMPUR: Kepercayaan rakyat terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila syarikat utiliti negara itu dinobatkan sebagai Jenama Terbaik 2026-2027 bagi kategori Tenaga-Kuasa (Peringkat Nasional) pada World Branding Awards.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada TNB atas kejayaan berkenaan yang disifatkan mencerminkan sumbangan besar syarikat itu terhadap pembangunan dan kemajuan negara.

Menerusi hantaran di laman X, Anwar berkata, sepanjang 77 tahun penubuhannya, TNB memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik negara, selain menyokong pertumbuhan ekonomi dan memacu pembangunan Malaysia.

Menurut beliau, pengiktirafan itu turut membuktikan keyakinan rakyat terhadap peranan TNB, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Anwar berharap kejayaan berkenaan menjadi pemangkin kepada TNB untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, memperkukuh infrastruktur tenaga serta memperluas penggunaan tenaga boleh baharu.

Usaha itu penting bagi memastikan sektor tenaga negara terus berkembang secara mampan, sekali gus menjamin masa depan Malaysia yang lebih berdaya tahan. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles