Pemuda Wawasan Gesa Elak Label Pengkritik Kerajaan Sebagai Khawarij

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Wawasan Negara menggesa semua pihak supaya tidak menggunakan istilah Khawarij secara sewenang-wenangnya terhadap individu yang mengkritik kerajaan atau mahu menukar kepimpinan melalui proses demokrasi.

Exco Pergerakan Pemuda Wawasan Negara, Muhammad Suhaimi berkata, tindakan mengkritik dasar kerajaan, penentangan politik dan pertukaran kerajaan melalui saluran perlembagaan perlu dibezakan daripada pemberontakan bersenjata.

Beliau berkata, kenyataan yang mengaitkan tindakan menjatuhkan kerajaan adil sebagai haram serta menyamakan pengkritik kerajaan dengan golongan Khawarij memerlukan penjelasan secara ilmiah dan mengambil kira konteks negara demokrasi berperlembagaan.

“Penggunaan istilah Khawarij tidak boleh dilakukan secara sembarangan sehingga mengaburkan perbezaan antara pemberontakan bersenjata, penentangan politik, kritikan terhadap dasar kerajaan dan proses pertukaran kerajaan melalui saluran perlembagaan.

“Keempat-empat perkara ini tidak boleh dihimpunkan dalam satu kategori hukum yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Tuan Guru Sheikh Wazir al-Makki ketika menyampaikan ceramah dalam satu program kerajaan yang tular sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Suhaimi berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, undi tidak percaya, pilihan raya, perbahasan di Dewan Rakyat dan kritikan terhadap dasar kerajaan merupakan sebahagian daripada mekanisme institusi yang sah.

Menurutnya, mengkritik kerajaan tidak bermaksud memusuhi negara, sebagaimana usaha menukar kerajaan melalui proses perlembagaan tidak boleh disamakan dengan pemberontakan terhadap agama.

Beliau turut menegaskan bahawa keadilan dalam tradisi politik Islam bukan sekadar gelaran yang diberikan kepada seseorang pemerintah, sebaliknya amanah yang perlu dibuktikan melalui dasar, kebajikan rakyat, pemeliharaan hak dan penggunaan kuasa secara bertanggungjawab.

“Adakah penilaian keadilan itu menjadi hak eksklusif pemerintah sendiri? Adakah ia hanya boleh ditentukan oleh kelompok yang menyokong kerajaan?

“Atau adakah rakyat, melalui institusi demokrasi dan ruang perbahasan awam, turut mempunyai hak untuk membuat penilaian?” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan nasihat dan teguran terhadap pemerintah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab moral masyarakat Islam, selaras dengan prinsip amar makruf nahi mungkar.

Katanya, huraian Imam al-Nawawi terhadap hadis berkaitan nasihat kepada pemimpin turut memperlihatkan kepentingan mengingatkan pemerintah apabila berlaku kekhilafan, dengan mengutamakan kelembutan dan kebijaksanaan.

Mengulas mengenai isu pengagihan peruntukan negeri, Muhammad Suhaimi turut membangkitkan persoalan tadbir urus berhubung penyerahan surat peruntukan berjumlah RM250 juta dalam majlis sama.

Beliau berkata, gurauan mengenai kelulusan peruntukan yang dikaitkan dengan sikap Menteri Besar Kelantan perlu dilihat dari sudut persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap integriti pengurusan wang awam.

“Tiadalah tuduhan mengenai berlakunya rasuah atau salah guna kuasa pada hemat kami. Namun, dalam urusan melibatkan wang awam, persepsi dan keyakinan masyarakat juga merupakan sebahagian daripada integriti institusi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pengagihan peruntukan kepada negeri perlu mengambil kira keperluan pembangunan, jumlah penduduk, kadar kemiskinan, jurang infrastruktur dan pertimbangan fiskal yang objektif.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu menerbitkan formula pengagihan peruntukan negeri secara telus supaya ia tidak dilihat sebagai ganjaran berdasarkan hubungan politik antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Dalam kenyataan sama, Pergerakan Pemuda Wawasan Negara mengemukakan tiga pendirian utama, termasuk keperluan membezakan istilah dan hukum berkaitan penentangan terhadap pemerintah, memastikan pengagihan peruntukan negeri berasaskan keadilan serta memelihara kebebasan dan kemuliaan institusi agama.

Muhammad Suhaimi berkata, institusi agama tidak seharusnya dijadikan platform untuk memberikan pengesahan moral kepada agenda politik atau keputusan pentadbiran kerajaan.

“Kita tidak mahu agama dipersempitkan sehingga hanya berfungsi mempertahankan pemerintah, sedangkan nilai-nilai besar Islam seperti keadilan, amanah, ihsan, syura dan maslahah sepatutnya menjadi asas kepada seluruh kehidupan bernegara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya menolak pemberontakan bersenjata, kekacauan dan pertumpahan darah, namun pada masa sama mempertahankan hak rakyat untuk mengkritik, menuntut pembaharuan serta memilih kerajaan melalui proses demokrasi yang sah.

“Pemerintah memerlukan rakyat yang taat tetapi rakyat juga memerlukan pemerintah yang adil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles