KUALA LUMPUR: Keputusan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia terhadap 43 sampel petrol RON95 yang diambil susulan aduan pencemaran bahan api mendapati kesemuanya mencatatkan kandungan air kurang daripada 0.05 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu menunjukkan kandungan air dalam semua sampel berkenaan berada di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.
Beliau berkata, laporan awal bertarikh 29 Oktober itu diterima daripada Jabatan Kimia Malaysia, manakala baki sampel masih dalam proses analisis sebelum laporan penuh dikeluarkan.
Menurutnya, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 262 sampel RON95 telah diambil melibatkan 259 sampel dari stesen minyak dan tiga sampel dari depoh syarikat minyak.
“Kesemua sampel berkenaan telah dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mengesan sebarang unsur kehadiran air dan bahan asing yang lain.
“Mengambil kira analisis bagi keseluruhan sampel akan mengambil masa, tumpuan segera diberikan kepada analisis bagi parameter pengesanan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keputusan analisis sampel RON95 di lima negeri serta depoh dan tindakan kerajaan menangani aduan kerosakan kenderaan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Armizan berkata, pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini melibatkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak.
Katanya, siasatan turut memberi tumpuan kepada dua syarikat minyak iaitu Petron dan Chevron, pemilik jenama Caltex, susulan aduan kerosakan kenderaan yang dikaitkan dengan bekalan bahan api dari stesen terlibat.
Menurutnya, kedua-dua syarikat berkenaan juga telah memulakan program pemulihan pelanggan menerusi pembayaran secara ex-gratia atau atas dasar ihsan kepada pengguna yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah.
“Bagaimanapun, pembayaran itu dibuat atas dasar goodwill basis tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti pada peringkat ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan KPDN tidak hanya tertumpu kepada stesen minyak, sebaliknya turut merangkumi keseluruhan rantaian bekalan termasuk syarikat minyak dan depoh.
Armizan berkata, walaupun aduan setakat ini tertumpu di negeri tertentu khususnya Kedah dan Pulau Pinang, kerajaan tidak menganggap isu berkenaan sebagai perkara terpencil memandangkan ia membabitkan keyakinan pengguna terhadap kualiti bahan api.
Katanya, KPDN turut menjalankan penandaarasan dengan beberapa negara termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia bagi memperkukuh piawaian pengesanan kualiti, kuantiti serta pemantauan keseluruhan rantaian bekalan bahan api.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang kesalahan.










