KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kebebasan media di Malaysia susulan penurunan kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang diterbitkan Reporters Without Borders (RSF).
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, Malaysia mencatatkan penurunan tujuh anak tangga kepada kedudukan ke-95 daripada 180 negara dalam indeks berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu termasuk kemerosotan petunjuk ekonomi media siber domestik kepada 40.28 mata, manakala petunjuk konteks politik merekodkan 43 mata.
Beliau berkata, angka berkenaan menunjukkan ekosistem maklumat negara memerlukan mekanisme semak dan imbang lebih menyeluruh bagi memastikan kebebasan media tidak terjejas.
“Kita tidak boleh memandang sepi kebimbangan awam dan pengamal media mengenai implikasi kawal selia yang terlalu ketat, sekatan kandungan secara unilateral serta dakwaan sekatan algoritma atau shadow ban terhadap suara-suara kritis,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Khamis.
Manndzri berkata, BN pada dasarnya menyokong tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi penguat kuasa membanteras kandungan penipuan kewangan, pornografi dan perjudian haram dalam talian.
Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan perlu membezakan secara jelas antara kandungan yang melanggar undang-undang dengan kritikan politik atau perbahasan dasar yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan kementerian di Dewan Rakyat pada 28 Oktober lalu, sebanyak 65,680 permintaan penurunan kandungan maklumat palsu dan memudaratkan dikemukakan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 56,304 kandungan berjaya diturunkan oleh pihak platform.
“Angka pemadaman pentadbiran yang mencecah puluhan ribu ini memerlukan semak dan imbang Parlimen yang lebih mendalam.
“Pihak berkuasa perlu memastikan kandungan jenayah seperti penipuan dan perjudian tidak disamakan dengan kritikan politik atau perbahasan dasar yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan laporan ketelusan platform digital seperti TikTok yang menunjukkan Malaysia antara negara dengan jumlah permintaan penurunan kandungan yang tinggi bagi tempoh selepas 2023 hingga pertengahan 2024.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan menyediakan garis panduan penapisan kandungan yang lebih telus, jelas dan selaras dengan piawaian antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan bahawa penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) serta peraturan pelesenan platform digital tidak seharusnya mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan pengamal media dan penyedia platform.
“Kuasa kawal selia yang luas diberikan kepada MCMC tidak seharusnya menjadi instrumen untuk menyekat perbahasan awam atau menekan kebebasan media.
“Penguatkuasaan undang-undang juga mesti bebas daripada tanggapan melindungi kepentingan politik kepartian dan sebaliknya berasaskan keselamatan negara serta undang-undang,” katanya.
Manndzri turut membangkitkan laporan ancaman keselamatan siber Anthropic bertarikh September 2026 yang mendedahkan operasi manipulasi maklumat menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), akaun palsu dan portal rekaan bagi membina profil pengguna di Malaysia.
Menurutnya, pendedahan itu menunjukkan keperluan meningkatkan kepakaran forensik digital dalam kalangan agensi tempatan bagi mengesan dan menangani operasi manipulasi maklumat secara lebih berkesan.
Sehubungan itu, BN menegaskan MCMC perlu beroperasi secara berkecuali, berintegriti tinggi dan bebas daripada sebarang agenda politik kepartian.
Beliau berkata, agenda keselamatan digital tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat amalan demokrasi, membungkam kebebasan media atau memadamkan suara semak dan imbang dalam negara.










