Kerajaan Teliti Naik Taraf Gred Penyelia KAFA Daripada S1 Kepada S5

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan struktur perjawatan Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), termasuk cadangan menaikkan gred jawatan daripada S1 kepada S5.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, bagaimanapun, cadangan berkaitan skim persaraan atau lantikan tetap Penyelia KAFA tertakluk kepada dasar perkhidmatan awam serta pertimbangan dan kelulusan agensi pusat berkaitan.

Beliau berkata, Penyelia KAFA ketika ini merupakan penjawat awam yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) secara kontrak perkhidmatan (Contract of Service) Gred S1 di bawah Skim Pembantu Hal Ehwal Islam dan bukan dalam skim perkhidmatan berpencen.

“Lantikan ini bermula sejak 2007,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tuan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta kerajaan menyatakan langkah drastik jangka pendek dan panjang bagi menaik taraf skim pencen Penyelia KAFA di seluruh negara berikutan elaun diterima dan peningkatan kos sara hidup.

Menurut Zulkifli, pelantikan secara kontrak memberi peluang kepada anak tempatan di negeri dan daerah untuk berkhidmat di kawasan masing-masing.

Katanya, pelantikan secara tetap pula boleh menyebabkan pegawai ditempatkan di pelbagai negeri yang mungkin jauh dari kawasan tempatan mereka, selain membabitkan jumlah perjawatan dan kos tanggungan yang tinggi kepada kerajaan.

Mengulas langkah jangka pendek, beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan dan kenaikan gaji tahunan Penyelia KAFA seperti penjawat awam lain, termasuk Bantuan Khas Kewangan sekiranya diumumkan.

“Ketika ucapan Belanjawan MADANI 2027, Perdana Menteri mengumumkan bagi mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang turut merangkumi Penyelia KAFA,” katanya.

Bagi jangka panjang, kerajaan akan terus meneliti penambahbaikan struktur perjawatan berkenaan, namun sebarang keputusan berkaitan skim persaraan dan lantikan tetap perlu mengambil kira dasar serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles