KUALA LUMPUR: Kesemua kerja naik taraf dan penambahbaikan venue bagi penganjuran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pada 2027 dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 sedang memantau serta menyelaras kesiapsiagaan infrastruktur dan venue pertandingan secara berterusan.
Beliau berkata, kerja penambahbaikan di beberapa venue masih dilaksanakan mengikut jadual, termasuk penggantian trek larian di Stadium Nasional Bukit Jalil dan kerja menaik taraf kemudahan di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur.
“Kedua-dua projek ini telah melepasi separuh daripada fasa pelaksanaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan tahap kesiapsiagaan infrastruktur serta venue bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
Menurut Taufiq, semua venue pertandingan di empat kluster iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor telah dikenal pasti dengan mengutamakan penggunaan kemudahan sedia ada.
Katanya, pemilihan venue mengambil kira keperluan teknikal pertandingan, kapasiti, aspek logistik serta kemudahan penginapan dan sokongan.
Beliau berkata, Stadium Sultan Ibrahim di Johor sudah sedia digunakan tanpa memerlukan kerja naik taraf fizikal, manakala semua venue di Pulau Pinang juga sedia digunakan kerana penganjuran di negeri itu melibatkan penyewaan fasiliti konvensyen.
“Di Kuala Lumpur pula, kerja penggantian bumbung Rumah Kelab di Kompleks Sukan Bukit Kiara telah siap sepenuhnya pada Julai 2026,” katanya.
Mengulas perkembangan di Sarawak, Taufiq berkata, beberapa projek termasuk di Pusat Petanque Sarawak, Lapang Sasar Memanah, Gelanggang Tenis SLTA dan Pusat Skuasy Sarawak mencatatkan perkembangan positif, malah mendahului jadual asal.
Sementara itu, di Johor, kerja penambahbaikan kemudahan stadium seperti Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Stadium Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang giat dilaksanakan.
Katanya, baki stadium yang terlibat di negeri itu kini berada dalam proses perolehan kerja.
Sukan SEA Ke-34 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN Ke-14 akan diadakan dari 17 hingga 23 Oktober 2027.
Taufiq berkata, Sukan SEA 2027 akan mempertandingkan 43 jenis sukan merentasi empat kluster, dengan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menjadi tuan rumah kepada 18 jenis sukan, Pulau Pinang enam jenis sukan dan Johor satu jenis sukan.
Upacara pembukaan dijadual berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 18 September 2027, manakala upacara penutupan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 September 2027.
Bagi Sukan Para ASEAN pula, kesemua 18 jenis sukan akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, penganjuran merentasi empat kluster membolehkan penggunaan fasiliti sedia ada dioptimumkan dan kos penganjuran diurus dengan lebih cekap, selain merancakkan ekonomi tempatan serta memperkukuh perpaduan antara negeri.
“KBS komited untuk memastikan kesemua venue bersedia mengikut jadual dan memenuhi keperluan teknikal serta piawaian antarabangsa bagi menyokong kelancaran penganjuran temasya,” katanya.










