Bekas Pengasas PCM Persoal Proses Penyerahan Parti Kepada Pihak Ketiga

KUALA LUMPUR: Bekas pengasas bersama Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi mempersoalkan proses penyerahan atau pengambilalihan parti itu oleh pihak ketiga, yang didakwa tidak dimaklumkan atau mendapat persetujuan beliau dan beberapa bekas anggota jawatankuasa penaja asal.

Liew berkata beliau bersama dua lagi bekas anggota jawatankuasa (AJK) tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan, termasuk mengemukakan lima perkara kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang pemberitahuan rasmi, jemputan mesyuarat atau permintaan persetujuan berhubung cadangan penyerahan PCM kepada pihak ketiga untuk diambil alih atau dikendalikan.

“Seperti ahli dan penyokong parti yang lain, kami juga berhak mendapatkan penjelasan tentang bagaimana keputusan sebesar ini dibuat, pihak yang memberikan mandat serta proses yang digunakan untuk melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Liew berkata sebarang perubahan membabitkan kedudukan, kepimpinan dan masa depan sesebuah parti politik perlu dilaksanakan secara telus, mengikut perlembagaan serta melalui saluran yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan status keahliannya selepas mendakwa menerima maklum balas menerusi aplikasi WhatsApp daripada Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan pada 7 Jun lepas bahawa keahliannya telah ditamatkan.

Menurut Liew, alasan yang diberikan ialah kegagalan membayar yuran keahlian serta tidak menghadiri aktiviti dan mesyuarat parti.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada penamatan keahliannya dilaksanakan mengikut prosedur dan peruntukan perlembagaan parti serta direkodkan dan dimaklumkan kepada ROS sekiranya diwajibkan.

Beliau juga mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi berhubung keputusan penamatan atau pemecatan keahliannya.

Mengulas lanjut, Liew berkata beliau mengambil masa untuk tampil memberikan penjelasan kerana perlu mengumpulkan maklumat, dokumen dan bahan sokongan sebelum membangkitkan isu berkenaan secara terbuka.

Katanya, hasil usaha itu, beliau memperoleh beberapa bahan berbentuk rakaman video dan audio yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ketulenan, kandungan dan konteks rakaman itu masih perlu disahkan melalui proses sewajarnya.

“Saya bercadang untuk menyerahkan bahan-bahan tersebut kepada ROS dan, sekiranya terdapat asas yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk penelitian lanjut,” katanya.

Beliau berkata rakaman berkenaan tidak akan ditayangkan atau disebarkan secara terbuka bagi mengelakkan isu perundangan, menjejaskan hak pihak terlibat atau mengganggu proses penelitian pihak berkuasa.

Liew berharap pihak berkuasa dapat meneliti ketulenan rakaman itu, termasuk menentukan sama ada terdapat unsur penyuntingan atau manipulasi sebelum membuat sebarang penilaian terhadap kandungannya.

Beliau menegaskan tindakan berhubung isu itu bukan bertujuan membuat kesimpulan awal terhadap mana-mana individu, sebaliknya menuntut penjelasan mengenai proses penyerahan parti, pihak yang memberikan kelulusan serta pematuhan terhadap perlembagaan PCM dan undang-undang berkaitan.

“Kami tidak meminta sesiapa dihukum berdasarkan dakwaan. Kami hanya menuntut supaya setiap persoalan dijawab, setiap dokumen yang berkaitan diteliti dan setiap keputusan pentadbiran dapat dipertanggungjawabkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles