KUALA LUMPUR: Seramai 7,723 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) sedang dalam proses mendapatkan pengesahan dalam perkhidmatan setakat 30 September 2026.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,832 PPP masih belum memenuhi satu atau lebih syarat pengesahan yang ditetapkan.
Beliau berkata, antara faktor utama kelewatan proses pengesahan itu ialah kegagalan guru berkenaan melepasi peperiksaan yang ditetapkan, khususnya elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM).
“Seramai 1,799 PPP tidak lulus peperiksaan yang ditetapkan, khususnya elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan jumlah guru yang masih belum mendapat pengesahan dalam perkhidmatan mengikut negeri dan tempoh perkhidmatan, selain faktor kelewatan proses berkenaan.
Menurut Fadhlina, selain kegagalan dalam penilaian PTM, terdapat tiga PPP yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda, manakala 29 lagi dilanjutkan tempoh percubaan tanpa denda.
“Seorang PPP pula dalam tempoh percubaan dibekukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengesahan dalam perkhidmatan merupakan proses memperakukan bahawa seseorang penjawat awam telah memenuhi semua syarat ditetapkan di bawah skim perkhidmatan atau syarat lain yang ditentukan dari semasa ke semasa.
Katanya, antara syarat yang perlu dipenuhi PPP sebelum disahkan dalam perkhidmatan ialah menamatkan tempoh percubaan antara satu hingga tiga tahun, menghadiri dan lulus Kursus Induksi (Modul Umum) atau PTM serta mendapat perakuan ketua jabatan.
Fadhlina berkata, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan urusan pelantikan, pengesahan dan penempatan PPP dilaksanakan secara sistematik, telus serta mematuhi peraturan berkuat kuasa.
“KPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan SPP dan semua pihak berkepentingan bagi mempercepat penyelesaian kes-kes yang masih tertangguh, di samping memastikan kebajikan guru terpelihara dan keperluan pendidikan murid di seluruh negara terus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau menegaskan, kementerian komited memastikan urusan pengesahan perkhidmatan PPP serta proses pelantikan tetap dan penempatan PPP secara Contract of Service dilaksanakan secara teratur dan telus.










