SHAH ALAM: Identiti pemilik sebenar premis penyembelihan ayam di Puchong yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana disyaki melakukan sembelihan tidak mengikut hukum syarak masih belum dikenal pasti.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pejabat daerah dan tanah bagi mengenal pasti pemilik premis serta syarikat yang mengendalikan operasi berkenaan.
Menurutnya, premis itu dipercayai diuruskan lebih daripada satu syarikat atau entiti, berdasarkan maklumat daripada individu yang ditahan.
Beliau berkata, serbuan pada 30 Oktober lalu mendapati 12 pekerja warga Bangladesh dan Pakistan sedang melakukan penyembelihan ayam secara tidak patuh syarak, apabila proses sembelihan dilakukan selepas ayam dipercayai mati akibat renjatan elektrik melebihi kadar voltan dibenarkan.
Lebih membimbangkan, premis berkenaan tidak mempunyai rekod permohonan pensijilan halal mahupun Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
JAIS turut mengesahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak pernah mengeluarkan tauliah penyembelih bagi operasi di premis itu.
Mohd Shahzihan berkata, pihaknya akan memaklumkan identiti individu atau syarikat terlibat kepada orang awam sebaik maklumat sahih diperoleh.
Kes disiasat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
JAIS turut menggesa pengusaha makanan, pemilik restoran dan masyarakat Islam memastikan bekalan ayam diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal serta tauliah penyembelihan yang sah.










