Barang Diterima Tidak Seperti Ditawarkan Catat Aduan Tertinggi Transaksi COD – Armizan

KUALA LUMPUR: Aduan berkaitan barang atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan mencatatkan jumlah tertinggi dalam transaksi Cash on Delivery (COD), iaitu sebanyak 26 kes atau 30 peratus daripada keseluruhan 88 aduan bagi tempoh Januari 2023 hingga Ogos 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aduan itu diikuti perihal perdagangan palsu sebanyak 14 kes (16 peratus) dan barang tiruan sebanyak 10 kes (11 peratus).

Beliau berkata, jumlah aduan berkaitan transaksi COD yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Sistem eAduan menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Sebanyak 10 aduan diterima pada 2023, 14 aduan pada 2024, 18 aduan pada 2025 dan 46 aduan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang meminta KPDN menyatakan jumlah aduan berkaitan transaksi COD, termasuk pesanan palsu dan keengganan menerima barang bagi tempoh 2023 hingga 2026, serta langkah kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna, peniaga dan penghantar barang.

Mengulas langkah perlindungan pengguna, Armizan berkata, transaksi COD tertakluk kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang berkuat kuasa pada 25 Disember 2024.

Beliau berkata, menerusi kerangka perundangan itu, peniaga diwajibkan memastikan maklumat barang atau perkhidmatan, harga, kos penghantaran, kaedah pembayaran serta terma dan syarat transaksi adalah benar dan tidak mengelirukan.

Selain itu, pengendali pasar dalam talian turut diwajibkan mengambil langkah munasabah untuk menyimpan rekod peniaga dan transaksi perdagangan elektronik selama tiga tahun bagi membantu proses pengesanan serta tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku aduan atau pertikaian.

Bagi melindungi peniaga, beliau berkata, kerajaan sedang mengambil tindakan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang yang antara lain akan memperjelas tanggungjawab pembeli untuk menyempurnakan pembayaran bagi barangan yang telah disahkan dan dihantar mengikut terma transaksi.

“Ini termasuk membendung amalan pembatalan pesanan secara sewenang-wenangnya ketika barangan sedang dalam proses penghantaran,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian kepada prinsip kesaksamaan dalam hubungan antara platform e-Dagang dengan peniaga, termasuk memastikan syarat perkhidmatan berkaitan transaksi COD telus, adil dan munasabah.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan peniaga tempatan terjejas dari segi aliran tunai atau menanggung peningkatan kos logistik.

Sementara itu, Armizan berkata, aspek kawal selia operasi perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan (p-hailing) berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan, manakala kebajikan serta perlindungan pekerja gig tertakluk kepada Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, KPDN akan terus memperkukuh perlindungan pengguna dan peniaga melalui kerangka perundangan, peraturan serta inisiatif sedia ada bagi memastikan transaksi COD dilaksanakan secara telus, selamat dan bertanggungjawab.

“Semua pihak dalam rantaian COD disaran memastikan terma transaksi, harga, kaedah pembayaran, tanggungjawab setiap pihak serta prosedur pemulangan atau penolakan barang dinyatakan dengan jelas sebelum transaksi dilaksanakan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles