Lelaki Maut Ditetak Tiga Lelaki Bersenjata Parang

TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa serangan tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai di Teluk Intan, semalam.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian kira-kira jam 3.53 petang itu dikejarkan ke Hospital Teluk Intan sebelum disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa diserang tiga lelaki menggunakan parang, manakala motif kejadian masih belum dikenal pasti.

“Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk melihat pergerakan individu atau kenderaan mencurigakan di sekitar lokasi, supaya tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak atau mana-mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles