KBS Tidak Lulus HYROX KL 2026 Selagi Tajaan Bir Tidak Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang diumumkan sebagai rakan rasmi acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendirian itu dibuat susulan penularan tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai Official Beer Partner bagi acara berkenaan.

Beliau berkata, HYROX Kuala Lumpur 2026 yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, masih belum mendapat kelulusan kementerian.

Menurutnya, KBS juga tidak memberikan sebarang kelulusan atau menyalurkan dana bagi penganjuran acara tersebut.

“Semua permohonan lesen oleh syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan melibatkan pengisytiharan oleh penganjur untuk memberi komitmen dalam pelaksanaan Kod Sukan Selamat.

“Pendirian KBS dalam hal ini adalah tegas. KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, penarikan tajaan itu turut merangkumi pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara serta venue pertandingan.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 dengan jelas melarang mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik atau minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi, mengiklan atau meletakkan cap dagangan dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS.

Larangan sama turut terpakai terhadap aktiviti sukan yang dianjurkan di fasiliti milik KBS dan agensi di bawahnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) menetapkan sesuatu syarikat tidak boleh terlibat dalam apa-apa aktiviti sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Katanya, pelanggaran peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol.

“KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles