KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang sebelum ini diketengahkan sebagai alternatif kepada Waze, kini mengalihkan pengguna kepada Google Maps untuk mendapatkan panduan perjalanan.
Perkembangan itu dilaporkan The Star pada Selasa susulan kemas kini aplikasi TuJu versi Android yang membolehkan pengguna membuka Google Maps apabila memilih fungsi navigasi.
Menurut laporan itu, apabila pengguna menekan pilihan navigasi dalam aplikasi berkenaan, satu notifikasi akan dipaparkan memaklumkan bahawa mereka akan dibawa ke Google Maps untuk menuju ke destinasi ditetapkan.
Pengguna kemudiannya perlu menekan butang ‘Go’ sebelum aplikasi Google Maps dibuka bagi meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, aplikasi TuJu masih menyediakan beberapa fungsi lain termasuk maklumat trafik, lokasi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya.
Laporan sama menyebut versi iOS masih belum menerima kemas kini terbaharu itu dan tidak menyediakan fungsi navigasi pada masa ini.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan aplikasi TuJu sebelum ini berdepan kritikan pengguna susulan masalah ketepatan arah perjalanan dan prestasi sistem sehingga fungsi navigasinya dihentikan sementara.
Kemas kini terbaharu pada 30 Oktober lalu menyaksikan aplikasi itu kembali boleh digunakan, namun fungsi navigasinya kini bergantung kepada Google Maps.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata kementeriannya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dipanggil untuk memberi taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung isu aplikasi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kementerian mendapatkan penjelasan susulan pelbagai persoalan yang timbul berkaitan keupayaan aplikasi TuJu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober lalu menggesa rakyat menggunakan TuJu sebagai alternatif kepada Waze atas alasan kebimbangan keselamatan negara dan perlindungan data pergerakan pengguna.
Kerajaan turut mengarahkan penjawat awam supaya tidak menggunakan Waze berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Pengerusi LLM, Hasni Mohammad sebelum ini menjelaskan TuJu sebenarnya dibangunkan untuk meningkatkan perkhidmatan berkaitan lebuh raya bertol dan bukannya bersaing secara langsung dengan aplikasi navigasi seperti Waze.
Menurut beliau, aplikasi itu memberi tumpuan kepada penyediaan maklumat trafik, kemudahan lebuh raya, lokasi R&R dan bantuan kecemasan kepada pengguna jalan raya.
Perkembangan terbaharu itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keupayaan TuJu sebagai aplikasi navigasi tempatan selepas ia sebelum ini disarankan kerajaan sebagai alternatif kepada Waze.










