Anwar Pilih Azman, Mat Sabu Mahu Adly Jadi Ketua Menteri – Takiyuddin

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) didakwa mempunyai dua calon untuk mengisi jawatan Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dilihat apabila Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing dikatakan mempunyai calon pilihan sendiri.

Beliau mendakwa, Anwar mahukan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, yang dinamakan sebagai Datuk Azman Abidin, manakala Mohamad pula dikatakan mahukan penyandang DUN Bukit Katil, Adly Zahari, untuk jawatan berkenaan.

“Anwar Ibrahim nak calon dia di Paya Rumput, nama Azman untuk jadi Ketua Menteri.

“Datang Mat Sabu pula nak siapa? Adly Zahari. ‘Aku nak Adly Zahari,’ kata Mat Sabu.

“Nak bertanding satu PRN ini, nak dua orang Ketua Menteri. Jadi parti macam inilah yang kita nak harapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kelompok UDM Kampung Bukit Katil, malam tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PN sudah mencapai persetujuan bahawa jawatan Ketua Menteri Melaka akan diberikan kepada UMNO sekiranya gabungan itu memenangi PRN kali ini.

Menurutnya, komitmen sama turut diberikan ketika kerjasama antara UMNO dan PN di Negeri Sembilan sebelum ini, apabila kedua-dua pihak bersetuju jawatan Menteri Besar negeri itu disandang wakil UMNO.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama UMNO dan PAS menerusi gabungan BN dan PN perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, perpecahan tersebut menyebabkan parti-parti Melayu gagal memperoleh kemenangan di beberapa kerusi yang berpotensi dimenangi sekiranya mereka bertanding secara bersama.

“Jangan ada lagi sengketa antara kita. Jangan ada lagi curiga antara kita. Presiden UMNO pun sudah sebut, jangan lagi ada rasa alah kepada PAS dan begitu juga PAS, jangan lagi rasa curiga kepada UMNO,” katanya.

Beliau turut menyasarkan gabungan BN dan PN mampu memenangi sekurang-kurangnya 24 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di Melaka.

Bagi kerusi DUN N17 Bukit Katil, calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif bakal berdepan saingan empat penjuru termasuk penyandangnya, Adly Zahari yang mewakili PH.

Dua lagi calon ialah Dr Aliza Che Amran daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Takiyuddin berkata, kemenangan gabungan itu di Melaka juga penting sebagai permulaan kepada usaha mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada PRU16 akan datang.

BBerkaitan

Latest articles